
SINTOK, 20 Julai – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa semua agensinya mempercepat pelaksanaan projek pembangunan bagi mencapai sasaran perbelanjaan 55 peratus, berbanding 40.88 peratus setakat 6 Julai lalu.
- KPT akan menyelaraskan peruntukan dan mempercepat pengeluaran Surat Setuju Terima bagi projek bawah Rolling Plan 5 RMK-12.
- Agensi perlu membelanjakan peruntukan mengikut jadual; prestasi pelaksanaan projek baik menjadi asas keyakinan kerajaan menyalurkan peruntukan masa hadapan.
- Pengurusan RMK-13 dipacu IBS, PAP dan BIM; projek RM100 juta ke atas wajib skor IBS minimum 70%, PAP dan BIM mandatori.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata langkah penyelarasan semula peruntukan akan dibuat, selain mempercepat pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) bagi projek bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia ke-12(RMK-12).
“Agensi berkenaan perlu memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dibelanjakan mengikut jadual dan prestasi pelaksanaan projek yang baik akan menjadi asas keyakinan kerajaan untuk terus menyalurkan peruntukan pembangunan pada masa hadapan,” menurutnya.
Beliau turut memaklumkan pengurusan projek fizikal bagi RMK-13 bakal dipacu menerusi tiga teknologi utama iaitu Industrialised Building System (IBS), Pre-Approved Plan (PAP) dan Building Information Modeling (BIM) bagi mengurangkan kos serta mengelak kelewatan.
“Penggunaan teknologi ini diwajibkan bagi projek bernilai RM100 juta ke atas serta bangunan akademik standard dan kolej kediaman,” tambah beliau.
Mengulas mengenai hala tuju RMK-13, Datuk Ts. Dr. Aminuddin memaklumkan pengurusan projek fizikal KPT akan dipacu berasaskan tiga tonggak utama teknologi pembinaan menerusi IBS, PAP dan BIM.
“Langkah ini mewajibkan projek bernilai RM100 juta ke atas mencapai skor minimum 70 peratus IBS, manakala PAP dan BIM dijadikan keperluan mandatori bagi mempercepat tempoh pembinaan serta mengurangkan kos,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) di UUM, hari ini.