686 atlet sandaran Johor, misi top 3 SUKMA 2026

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 20 Julai – Selepas mencipta sejarah muncul juara keseluruhan SUKMA 2022, Johor kini memasang impian besar untuk sekali lagi mencipta kejayaan apabila menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada temasya SUKMA 2026 yang bakal berlangsung di Selangor, Ogos depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Johor berbekal 686 atlet dengan persiapan rapi, latihan berterusan dan komitmen tinggi dari atlet serta Majlis Sukan Negeri.
  • Exco Mohd Hairi menyatakan keyakinan terhadap kemampuan atlet negeri memberi saingan sengit.
  • Beliau hadir Majlis Mengimbas Kad Perakam Waktu Hari Pertama Penggal Baharu di Pejabat MSN Johor, Kota Iskandar.
  • Sasaran kutipan pingat kontinjen Johor akan diumumkan semasa majlis pelepasan atlet pada 3 Ogos.

Berbekalkan kekuatan 686 atlet, Johor optimis mampu memberikan saingan sengit kepada negeri-negeri lain menerusi persiapan rapi, latihan berterusan serta komitmen tinggi barisan atlet dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sasaran itu mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan atlet negeri itu untuk mengulangi kecemerlangan yang pernah dicapai sebelum ini.

Menurutnya, pengalaman bergelar juara pada SUKMA 2022 menjadi pembakar semangat buat kontinjen Johor untuk kembali mencabar kelompok terbaik pada edisi kali ini.

“Sebelum ini kita berada di tempat ke-20, kemudian kita berjaya menjadi juara ketika SUKMA Kuala Lumpur. Saya yakin dan percaya dengan latihan serta persiapan yang dibuat, atlet kita bersedia memberikan cabaran sengit kepada tuan rumah, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.

“Pastinya sebagai Exco Belia dan Sukan Negeri Johor, saya mahu mengulangi kenangan pada 2022 apabila Johor muncul juara. Ia menjadi motivasi kepada atlet dan juga diri saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Mengimbas Kad Perakam Waktu Hari Pertama Penggal Baharu di Pejabat Majlis Sukan Negeri Johor, Bangunan Datuk Mohamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sasaran kutipan pingat kontinjen Johor akan diumumkan semasa majlis pelepasan atlet pada 3 Ogos depan.

Johor sebelum ini melakar sejarah apabila muncul juara keseluruhan SUKMA 2022 di Kuala Lumpur dan kini menggalas misi untuk mengulangi pencapaian itu dengan barisan atlet terbaik negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.