
SERDANG, 19 Julai – Impian peminat sukan tempatan untuk melihat Malaysia memiliki padang besbol bertaraf dunia bakal menjadi kenyataan apabila dijangka siap sepenuhnya, hujung bulan ini.
- Padang menanti pengesahan dan pensijilan daripada badan induk besbol antarabangsa sebelum boleh digunakan secara rasmi.
- Padang diharap sedia untuk menganjurkan Kejohanan Besbol Wanita Antarabangsa, 12 hingga 16 Ogos, melibatkan empat negara.
- Pemain lelaki dijemput menjalani latihan bersama kelab profesional dan universiti Jepun (Honda) sebagai persediaan Kejohanan East Asia Cup di Manila, November.
Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Sazali Husain berkata, padang yang kini berada di fasa akhir pembinaan itu hanya menanti ‘lampu hijau’ daripada badan induk besbol antarabangsa sebelum boleh digunakan secara rasmi.
“Kita dijangka memperoleh pengesahan dan pensijilan daripada badan induk besbol antarabangsa menerusi lawatan penilaian yang dijadual berlangsung pada hujung bulan ini.
“Kita berharap padang ini akan bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa sulung, iaitu Kejohanan Besbol Wanita Antarabangsa yang akan berlangsung dari 12 hingga 16 Ogos, melibatkan penyertaan empat negara,” katanya ketika ditemui media disini.
Mengulas cabaran skuad besbol wanita di kejohanan berkenaan, beliau optimis skuad berkenaan mampu memberi cabaran meskipun dibarisi ramai muka baharu.
Jelasnya, kelebihan beraksi di laman sendiri diharap mampu memacu misi mereka untuk memperbaiki ranking dunia.
Pada kejohanan Besbol Wanita Antarabangsa bemula bulan hadapan. skuad Besbol wanita bakal membuka tirai menentang Bangladesh.
Kejohanan berkenaan turut disertai Thailand dan Indonesia.
Sementara itu,menyentuh mengenai perkembangan skuad lelaki pula, Sazali memaklumkan pasukan negara mendapat tonik berharga apabila beberapa pemain diundang menjalani latihan bersama sebuah kelab profesional, dan universiti di Jepun.
“Kita menerima undangan daripada pihak Jepun untuk menghantar beberapa pemain menjalani latihan bersama universiti di negara itu serta kelab profesional, Honda.
“Senarai pemain dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada hujung minggu hadapan sebelum pengesahan rasmi dihantar kepada pihak Honda dan universiti terbabit,” ujarnya.
Langkah berkenaan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan East Asia Cup di Manila, November ini, dengan senarai akhir pemain yang bertuah itu akan dimuktamadkan minggu depan.