
KUALA LUMPUR, 17 JULAI – Syarikat-syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia terus menunjukkan daya tahan walaupun berdepan persekitaran global yang tidak menentu.
- Syarikat Jerman kekal optimis; 87% menjangka perniagaan stabil atau bertambah baik dalam 12 bulan akan datang.
- 34% syarikat merancang menambah tenaga kerja, manakala 46% berhasrat mengekalkan bilangan pekerja sedia ada.
- Gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan permintaan, serta kenaikan kos tenaga dan bahan mentah dikenal pasti sebagai risiko utama.
- Sebahagian besar tidak memindahkan operasi; syarikat mengekalkan Malaysia sebagai pangkalan serantau serta kembangkan pasaran dan rangkaian pembekal.
Demikian menurut Tinjauan Prospek Perniagaan Dunia Musim Bunga 2026 yang dijalankan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jerman-Malaysia (MGCC).
Hasil tinjauan mendapati, 88 peratus syarikat Jerman menyatakan operasi perniagaan mereka sebagai baik atau memuaskan, sekali gus mencerminkan keyakinan yang berterusan terhadap pasaran tempatan.
Keyakinan itu turut diterjemahkan kepada prospek masa depan apabila 87 peratus responden menjangkakan keadaan perniagaan akan kekal stabil atau bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Daripada jumlah itu, 35 peratus menjangkakan peningkatan, manakala 52 peratus meramalkan ia kekal pada tahap semasa.
Dari segi pengambilan pekerja, 34 peratus syarikat merancang untuk menambah tenaga kerja dalam tempoh setahun akan datang, manakala 46 peratus berhasrat mengekalkan jumlah pekerja sedia ada.
Pengarah Eksekutif MGCC, Hannes Farlock berkata, syarikat Jerman memberikan gambaran jelas bahawa Malaysia kekal sebagai pangkalan yang stabil dan dipercayai walaupun landskap global semakin mencabar.
”Tinjauan terbaru kami menunjukkan daya tahan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global serta mengukuhkan kedudukannya sebagai hab strategik bagi syarikat-syarikat Jerman di
Asia Tenggara,” katanya.
Pada masa sama, pandangan terhadap prospek ekonomi keseluruhan dilihat lebih berhati-hati apabila 71 peratus responden menilai prospek ekonomi Malaysia bagi tempoh 12 bulan akan datang sebagai stabil atau positif.
Gangguan rantaian bekalan muncul sebagai risiko utama yang dikenal pasti oleh 52 peratus responden, diikuti ketidaktentuan permintaan (47 peratus), kenaikan harga tenaga (45 peratus) dan harga bahan mentah (40 peratus).
”Di sebalik prospek ekonomi menjadi lebih berhati-hati, kecenderungan syarikat Jerman untuk memindahkan operasi keluar dari Malaysia kekal rendah.
”Hanya 18 peratus syarikat sedang memindahkan operasi pengeluaran ke lokasi lain, manakala 67 peratus tidak merancang untuk berbuat demikian,” tambah Farlock.
Sebaliknya, syarikat-syarikat berkenaan terus menyesuaikan strategi dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi serantau, apabila 54 peratus meneroka pasaran baharu dan 40 peratus memperluaskan rangkaian pembekal mereka.
Tinjauan yang dijalankan antara 16 Mac hingga 10 April 2026 itu melibatkan 99 responden daripada syarikat ahli MGCC, majoritinya terdiri daripada syarikat Jerman yang mempunyai cawangan atau anak syarikat di Malaysia.