
BENTONG, 16 Julai – Seorang peniaga berusia 66 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas disyaki memiliki 34 ekor Katak Demam (Limnonectes blythii) yang dilindungi tanpa permit sah dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Tras, semalam.
- Peniaga berusia 66 tahun ditahan PGA atas dakwaan memiliki Katak Demam dilindungi tanpa permit.
- Anggota PGA menyerbu stor di Jalan Tras sekitar pukul 5 petang.
- Setiap ekor dianggarkan bernilai RM500, jumlah rampasan dianggarkan RM17,000.
- Katak dipercayai diperoleh daripada penduduk Orang Asli dan dijual kepada premis makanan eksotik; kes diserahkan kepada PERHILITAN, disiasat di bawah Akta 716.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Razak Hassan berkata, anggota PGA menyerbu stor berkenaan kira-kira pukul 5 petang.
Beliau berkata, setiap ekor Katak Demam dianggarkan bernilai RM500, menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM17,000.
“Suspek gagal mengemukakan lesen atau permit yang sah bagi menyimpan 34 ekor Katak Demam yang merupakan spesies dilindungi di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati katak berkenaan diperoleh daripada penduduk Orang Asli di Kampung Gebak dan Kampung Gabong sebelum dipercayai dijual kepada premis makanan eksotik di sekitar Pahang.
Katanya, tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada PERHILITAN Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).