
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIB) bagi memperkukuh libat urus dalam merangka dasar baharu industri padi dan beras yang lebih mampan, adil serta berdaya tahan.
- Mesyuarat menghimpunkan 41 wakil pelbagai rantaian industri bagi membincangkan hala tuju sektor padi dan beras.
- Isu utama dibincangkan: peningkatan kos operasi, pengurusan Benih Padi Sah, pengukuhan infrastruktur, mekanisasi, sistem pengairan serta pengilangan dan pelabelan.
- Cadangan intervensi kerajaan akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Teknikal Khas sebelum dipertimbangkan di peringkat dasar.
- Dasar baharu perlu berasaskan realiti lapangan melalui libat urus terbuka dan berterusan untuk menjamin bekalan beras dan keterjaminan makanan.
KPKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, penubuhan jawatankuasa itu mencerminkan komitmen kementerian untuk mendengar serta mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan dalam merangka dasar yang memenuhi keperluan keseluruhan rantaian industri.
“Kementerian percaya bahawa dasar yang baik perlu dibina melalui proses mendengar, menilai dan mencari titik keseimbangan antara kepentingan semua pihak.
“Matlamat akhirnya adalah untuk membangunkan industri padi dan beras negara yang lebih cekap, telus, mampan dan berdaya tahan, di samping memastikan bekalan beras negara terus mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang diadakan buat julung kalinya pada 14 Julai lalu dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mesyuarat itu menghimpunkan 41 wakil pelbagai rantaian industri termasuk pesawah, pengilang, pemborong, pengeluar benih padi, pengurusan tertinggi KPKM serta agensi berkaitan bagi membincangkan hala tuju sektor berkenaan.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah impak peningkatan kos operasi, pengurusan dan kawalan Benih Padi Sah (BPS), pengukuhan infrastruktur, mekanisasi serta sistem pengairan, selain aspek pengilangan, penggredan dan pelabelan beras.
Turut dibincangkan cadangan intervensi kerajaan bagi memperkukuh industri, dengan semua pandangan dan syor yang dikemukakan akan diperhalusi Jawatankuasa Teknikal Khas sebelum dipertimbangkan di peringkat dasar.
Menurut KPKM, setiap dasar baharu berkaitan industri padi dan beras perlu dirangka berasaskan realiti di lapangan serta mengambil kira pandangan pihak yang terlibat secara langsung dalam keseluruhan rantaian industri.
“Industri padi dan beras negara kini berdepan cabaran yang semakin kompleks, justeru penyelesaiannya memerlukan proses libat urus yang terbuka, menyeluruh dan berterusan, bukannya pendekatan satu penyelesaian untuk semua,” menurut kenyataan itu lagi.
KPKM akan meneruskan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap pembaharuan yang dirangka memperkukuh ekosistem industri, sekali gus menjamin bekalan beras negara kekal mencukupi serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.