Malam Wartawan Malaysia 2026: Kewartawanan beretika dalam era AI jadi fokus


Majlis yang bakal berlangsung di ibu negara itu dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. / Portal MPI

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kepentingan kewartawanan beretika dan berasaskan fakta dalam mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap media bakal menjadi antara fokus Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 pada 17 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MWM sebagai simbol penghargaan terhadap profesionalisme, keberanian dan integriti wartawan dalam menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat.
  • Perdana Menteri dijadual meraikan penulis buku Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan yang mendokumentasi pengalaman 23 pengamal media.
  • Kemuncak majlis: penyampaian HKM MPI-PETRONAS 2025 mengiktiraf karya terbaik dalam 21 kategori merangkumi pelbagai platform dan tema.

Majlis yang bakal berlangsung di ibu negara itu dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail berkata perkembangan platform digital, media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan peranan kewartawanan yang beretika semakin penting.

“Dalam era lambakan maklumat dan teknologi AI, kewartawanan yang beretika serta berasaskan fakta menjadi semakin penting dalam mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap media,” katanya.

Beliau berkata MWM bukan sekadar majlis penghargaan, sebaliknya simbol pengiktirafan terhadap profesionalisme, keberanian dan integriti wartawan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

Dr. Ainol Amriz berkata selain menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Perdana Menteri turut dijadual meraikan penulis buku Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan, terbitan khas MPI yang menghimpunkan pengalaman 23 pengamal media daripada pelbagai organisasi.

Buku itu diterbitkan sebagai dokumentasi perjalanan profesion kewartawanan serta warisan ilmu kepada generasi akan datang.

Bertemakan “Bilik Berita”, MWM 2026 mengetengahkan peranan bilik berita sebagai nadi kewartawanan dalam memastikan setiap laporan disemak, disahkan dan diterbitkan secara beretika.

Kemuncak majlis ialah penyampaian HKM MPI-PETRONAS 2025 yang mengiktiraf karya terbaik dalam 21 kategori, merangkumi media cetak, penyiaran, radio, multimedia, foto, dokumentari, kewartawanan penyiasatan, kewartawanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pelbagai kategori lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.