BLAST perkasa PKS Selangor tembusi rantaian bekalan global

Foto FB MTDC

SHAH ALAM, 14 Julai Selangor mempergiat usaha memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dengan meningkatkan daya saing serta membantu mereka memenuhi piawaian antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • BLAST menghubungkan PKS dengan MNC, MTC dan peneraju industri untuk memperkukuh peranan mereka dalam rantaian bekalan.
  • Program enam bulan menyediakan penilaian keupayaan, latihan, bimbingan korporat, persediaan pasaran dan sesi padanan perniagaan.
  • Fasa pertama melibatkan 12 PKS dalam aeroangkasa, rel, sains hayat dan teknologi digital, dengan sasaran kenaikan hasil lima peratus menjelang 2030.

Usaha itu dilaksanakan menerusi program Jalinan Perniagaan dan Pemerkasaan Perniagaan (BLAST) yang menghubungkan PKS tempatan dengan syarikat multinasional (MNC), syarikat peringkat pertengahan (MTC) dan peneraju industri di Selangor.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, pendekatan itu membolehkan PKS membekalkan produk dan perkhidmatan kepada pelabur utama, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka dalam rantaian bekalan industri.

“Matlamat utama program ini adalah untuk membangunkan PKS tempatan. Pendekatannya adalah dengan menghubungkan PKS kepada syarikat pelabur utama yang telah beroperasi di Selangor.

“Ini sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk membekalkan produk dan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat berkenaan,” katanya selepas melancarkan Program BLAST di sini.

Menurut beliau, BLAST merupakan sebuah inisiatif bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang menyediakan program pembangunan kapasiti selama enam bulan, merangkumi penilaian keupayaan, latihan, bimbingan korporat, persediaan pasaran dan sesi padanan perniagaan.

Fasa pertama melibatkan 12 PKS daripada empat sektor strategik iaitu aeroangkasa, rel, sains hayat dan teknologi digital.

Inisiatif ini dijangka menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Selangor dengan sasaran peningkatan hasil lima peratus menjelang 2030.

Selangor merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM33.5 bilion pada suku pertama 2026, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri mencecah RM460.1 bilion pada 2025, menyumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.