
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.8 peratus hingga 5.0 peratus pada suku kedua 2026 menjelang pengumuman anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 17 Julai ini.
- IPPFA mengekalkan unjuran KDNK bagi keseluruhan 2026 pada 4.6 peratus.
- Unjuran inflasi dikekalkan pada 2.0 peratus; tekanan harga boleh diserap melalui mekanisme kerajaan seperti BUDI95 dan BUDI Diesel.
- Sentimen pelabur meningkat; pelabur asing menjadi pembeli bersih, dipacu peluang AI dan teknologi AS serta peralihan ke sektor taktikal dan defensif.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd Sedek Jantan berkata, unjuran itu disokong oleh prestasi ekonomi negara yang kekal berdaya tahan dalam tempoh berkenaan, di sebalik ketidaktentuan geopolitik global.
“Kami melihat pertumbuhan KDNK sekitar 4.8 hingga 5.0 peratus bagi suku kedua, namun bagi keseluruhan tahun 2026, kami masih mengekalkan unjuran KDNK pada 4.6 peratus.
“Kami melakukan semakan semula setiap tiga bulan dan kebiasaannya semakan ini melibatkan unjuran KDNK, inflasi serta analisis berdasarkan data terkini yang dilaporkan oleh kerajaan atau institusi berkaitan,” katanya kepada RTM.
Mengulas mengenai inflasi, Mohd Sedek berkata IPPFA mengekalkan unjuran inflasi Malaysia pada paras 2.0 peratus bagi tahun ini.
Menurut beliau, tekanan inflasi dijangka kekal terkawal apabila kesan kenaikan harga bahan api dan kos logistik dijangka dapat diserap melalui mekanisme yang dilaksanakan kerajaan.
“Ramai menjangkakan inflasi akan meningkat pada suku ketiga disebabkan kesan transmisi daripada bahan api dan kos logistik, namun kami melihat kesan tersebut masih dapat diserap melalui mekanisme yang dilaksanakan kerajaan, seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95), serta BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel),” katanya.
Mengenai sentimen pelabur bagi separuh kedua tahun ini, beliau berkata, sentimen pelabur masih dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi global, khususnya sektor kecerdasan buatan (AI) dan teknologi di Amerika Syarikat.
“Dari perspektif pelabur, mereka sebelum ini lebih melihat kepada peluang keuntungan dalam jangka pendek, khususnya melalui perkembangan AI dan teknologi di Amerika Syarikat.
“Namun, minggu lalu kita melihat sentimen mula berubah apabila pelabur asing menjadi pembeli bersih di pasaran Malaysia pada Rabu, Khamis dan Jumaat.
“Ini menunjukkan terdapat sedikit peralihan daripada pelaburan daripada sektor besar kepada sektor taktikal dan sektor defensif,” katanya lagi.
Beliau berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan pelabur semakin meningkat terhadap prospek pasaran Malaysia, walaupun persekitaran ekonomi global masih berdepan pelbagai cabaran.