Taufan Bavi tingkat risiko banjir, lebih 238,000 penduduk dipindahkan di timur laut China

Taufan Bavi membawa hujan lebat dan meningkatkan risiko banjir di timur laut China./ REUTERS

LIAONING, 13 Julai – Lebih 238,000 penduduk di wilayah Liaoning, timur laut China dipindahkan selepas Taufan Bavi membawa hujan lebat dan meningkatkan risiko banjir di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Taufan Bavi mendarat di pantai Zhejiang dengan kelajuan angin maksimum 40 meter sesaat.
  • Kini bergerak ke arah timur laut pada kelajuan 10 hingga 15 kilometer sejam selepas lemah menjadi ribut tropika kuat.
  • Shenyang naikkan tahap tindak balas kecemasan banjir ke Tahap I; semua sekolah, tapak bina dan aktiviti luar diarahkan ditutup.
  • Amaran hujan lebat tertinggi di Fushun; tambahan hujan 100 hingga 200 milimeter dijangka, risiko jalan tenggelam dan tanah runtuh meningkat.

Taufan kesembilan yang melanda China tahun ini membadai pantai wilayah Zhejiang pada kira-kira 11.20 malam Sabtu dengan kelajuan angin maksimum 40 meter sesaat ketika membadai daratan.

Bavi mula mendarat di Bandar Yuhuan sebelum membuat pendaratan kali kedua di Bandar Yueqing sekitar tengah malam.

Pusat Meteorologi Kebangsaan China memaklumkan taufan itu kini bergerak ke arah timur laut pada kelajuan antara 10 hingga 15 kilometer sejam selepas ia lemah menjadi ribut tropika kuat pada Ahad.

Susulan keadaan cuaca yang semakin buruk, bandar Shenyang, ibu negeri Liaoning, menaikkan tahap tindak balas kecemasan banjir ke Tahap I, iaitu tahap tertinggi.

Semua sekolah, tapak pembinaan dan aktiviti luar diarahkan ditutup.

Langkah sama turut dilaksanakan di beberapa bandar lain termasuk Fushun, Jinzhou, Tieling dan Panjin.

Balai Cerap Meteorologi Fushun turut menaikkan amaran hujan lebat ke tahap tertinggi pada Isnin.

Kawasan itu merekodkan purata taburan hujan sebanyak 64 milimeter semalaman, manakala hujan tambahan antara 100 hingga 200 milimeter dijangka berlaku sepanjang hari.

Sehingga pukul 1 tengah hari Isnin, seramai 238,990 penduduk telah dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Pasukan kecemasan turut digerakkan bagi membantu operasi pemindahan dan saliran, ketika beberapa jalan ditenggelami air, paras sungai meningkat serta risiko tanah runtuh semakin tinggi.

Penduduk dinasihatkan supaya berada di dalam rumah dan menjauhi kawasan tebing sungai serta kawasan rendah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.