
LONDON, 13 Julai – Harga minyak dunia meningkat pada Isnin susulan serangan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perkapalan di Selat Hormuz, antara laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.
- Tentera AS melancarkan gelombang serangan baharu ke atas Iran, susulan serangan yang menyasarkan lebih 140 lokasi ketenteraan.
- Iran membalas dengan menyerang kemudahan tentera AS di Jordan, Kuwait, Bahrain dan Oman.
- IRGC mengisytiharkan Selat Hormuz ditutup; CENTCOM dan Presiden AS menafikan dan berkata laluan masih terbuka.
- Pergerakan kapal merosot kepada sembilan sehari; JMIC memberi amaran keselamatan serius, pakar ramal gangguan bekalan akan menaikkan harga minyak.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 3.3 peratus kepada AS$78.48 setong, manakala minyak mentah penanda aras Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI), turut naik 3.3 peratus kepada AS$73.78 setong.
Terdahulu harga itu melonjak kira-kira lima peratus sebelum berkurangan sedikit.
Kenaikan tersebut berlaku selepas tentera AS melancarkan satu lagi gelombang serangan ke atas Iran pada Ahad, susulan serangan terdahulu yang menyasarkan lebih 140 lokasi ketenteraan Iran.
Menurut Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), operasi itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) ke atas sebuah kapal kontena yang melalui Selat Hormuz.
Iran kemudian melancarkan serangan balas dengan menyasarkan kemudahan tentera AS di Jordan, Kuwait, Bahrain dan Oman, menurut agensi berita Tasnim.
Media rasmi Iran turut melaporkan IRGC mengisytiharkan Selat Hormuz ditutup sehingga diberitahu kelak.
Bagaimanapun, CENTCOM menafikan dakwaan itu dan menegaskan laluan berkenaan kekal terbuka kepada semua kapal yang menjalankan pelayaran mengikut undang-undang antarabangsa.
Presiden AS Donald Trump turut menegaskan Selat Hormuz masih dibuka kepada trafik perkapalan.
Walaupun begitu, Pusat Maklumat Maritim Bersama (JMIC), sebuah pakatan keselamatan maritim yang diterajui AS di Bahrain, memaklumkan keadaan keselamatan di Selat Hormuz masih berada pada tahap serius dan menasihatkan semua kapal supaya meningkatkan tahap berjaga-jaga.
Firma risikan maritim Windward melaporkan hanya sembilan kapal melalui selat berkenaan pada Sabtu, jauh lebih rendah berbanding sekitar 30 hingga 40 kapal sehari sebelum konflik memuncak.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Argus, David Fyfe, aliran trafik perkapalan yang semakin perlahan dijangka memberi kesan kepada bekalan minyak global.
Beliau berkata keadaan itu, ditambah dengan penyusutan stok minyak dunia sejak konflik bermula pada Februari serta pengurangan eksport diesel Rusia ke pasaran antarabangsa, berpotensi menyebabkan harga minyak meningkat dengan lebih ketara dalam tempoh terdekat.
Selat Hormuz mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia sebelum konflik antara AS, Israel dan Iran tercetus, sekali gus menjadikan sebarang gangguan di laluan strategik itu memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga global.