
JOHOR BAHRU, 13 Julai – Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, diminta mewujudkan jaringan kukuh dan kerjasama erat bagi membawa potensi produk yang dihasilkan ke peringkat lebih tinggi.
- Usaha IBD memberi nilai tambah dan meningkatkan daya inovasi Malaysia.
- Perlunya kerjasama dengan agensi kerajaan untuk mendapatkan pembiayaan demi menghasilkan produk berdaya saing.
- Pembangunan produk berasaskan herba tempatan termasuk tonik rambut, serai wangi, kacip Fatimah dan tongkat ali.
- Perancangan pelancaran pejabat komersial UTM di Shenzhen untuk memasuki pasaran China dan mengangkat nama institusi antarabangsa.
Naib Canselor UTM, Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, usaha itu menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya inovasi Malaysia.
Katanya, IBD juga perlu bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan pembiayaan bagi membolehkan usahawan menghasilkan produk berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Antara produk yang telah dibangunkan termasuk tonik rambut. Sebelum ini, kita juga telah menghasilkan pelbagai produk berasaskan herba tempatan seperti serai wangi, kacip Fatimah, tongkat ali serta beberapa herba lain,” katanya semasa program IBD Wellness Day 2026 di UTM Skudai, Johor Bahru.
Selain itu, UTM dijangka melancarkan pejabat komersial di Shenzhen, China, bagi membawa masuk produk UTM ke negara itu, seterusnya mengangkat nama institusi di peringkat antarabangsa.