
PUTRAJAYA, 13 Julai- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
- Keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.
- Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
- Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan pendakwaan; Datuk Seri Abu Bakar Jais berbeda pendapat.
- Pertuduhan melibatkan pecah amanah RM1 juta, penyalahgunaan RM120,000 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram RM50,000 setiap satu.
Keputusan majoriti 2-1 itu sekali gus menolak rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan.
Panel tiga hakim yang bersidang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan menolak rayuan pendakwaan, manakala Datuk Seri Abu Bakar Jais memberikan keputusan berbeza.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan berkenaan.
Syed Saddiq sebelum ini didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah membabitkan dana Armada berjumlah RM1 juta pada 6 Mac 2020.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise serta berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan wang RM50,000 bagi setiap transaksi ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, pembebasan Syed Saddiq daripada kesemua empat pertuduhan itu kekal.