Lapan wanita warga asing diberkas terbabit sindiket pelacuran dalam talian

Foto RTM

SHAH ALAM, 12 Julai – Sindiket pelacuran yang aktif mengiklankan perkhidmatan persundalan menerusi platform dalam talian tumpas setelah polis menggempur beberapa premis di sekitar Selangor, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu Op Noda Freelance oleh JSJ di Sepang, Serdang dan Petaling Jaya melibatkan tiga pegawai kanan dan 15 anggota.
  • Sembilan ditahan termasuk lapan wanita warga asing (24-40) dan seorang lelaki tempatan berperanan sebagai penghantar.
  • Sindiket guna MiChat dan Telegram tawar perkhidmatan RM200 hingga RM550 setiap pelanggan, pendapatan wanita sehingga RM12,000 seminggu.

Operasi bersepadu menerusi Op Noda Freelance itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Sepang, Serdang dan Petaling Jaya membabitkan tiga pegawai kanan serta 15 anggota polis.

Kenyataan JSJ memaklumkan, sembilan individu termasuk lapan wanita warga asing berusia 24 hingga 40 tahun ditahan.

Turut diberkas, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dipercayai bertindak sebagai penghantar dengan membawa wanita terbabit ke lokasi pelanggan dan menerima bayaran mengikut destinasi.

“Hasil risikan mendapati sindiket terbabit menggunakan aplikasi MiChat dan Telegram bagi mempromosikan perkhidmatan seks dengan menawarkan kadar bayaran antara RM200 hingga RM550 bagi setiap pelanggan.

Setiap wanita mampu menjana pendapatan hingga RM12,000 seminggu,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, semua urusan tempahan, rundingan harga dan penetapan lokasi dilakukan sepenuhnya menerusi aplikasi berkenaan sebelum wanita terbabit dihantar ke lokasi yang dipersetujui.

“Bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa, sindiket menjadikan kondominium mewah dan hotel sekitar Lembah Klang sebagai lokasi utama menjalankan aktiviti persundalan,” katanya.

Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, kondom, minyak pelincir, tuala serta wang tunai kira-kira RM3,000 yang disyaki hasil daripada aktiviti persundalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 56(1)(i) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

PDRM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pelacuran, termasuk yang berselindung di sebalik platform digital dan akan terus mempertingkat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.