PRN Johor: SPR yakin sasaran 70 peratus keluar mengundi tercapai

Datuk Seri Ramlan Harun/ Bernama

JOHOR BAHRU, 11 Julai- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kekal optimis sasaran 70 peratus keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 mampu dicapai meskipun hujan melanda beberapa kawasan pada sebelah pagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peratus keluar mengundi setakat 5.00 petang ialah 67.44%, dengan 1,809,185 daripada 2,682,642 pengundi biasa telah membuang undi.
  • SPR menjangka trend kehadiran pengundi akan meningkat pada sebelah petang walaupun hujan berlaku pada sebelah pagi.
  • Kadar tertinggi di N.18 Sri Medan (77.2%), N.20 Semarang (76.8%), N.36 Sedili (74.3%); terendah di N.46 Perling, N.45 Stulang, N.06 Bekok.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata SPR menjangkakan trend kehadiran pengundi akan terus meningkat pada sebelah petang.

“Di sekitar Johor Bahru, mengikut unjuran kita hujan dijangka turun pada sebelah petang, namun nampaknya hujan berlaku lebih awal. Sama-sama kita berdoa supaya petang ini tidak hujan dan momentum jumlah keluar mengundi akan berterusan sehingga petang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.

Pada PRN Johor Ke-15, peratusan keluar mengundi direkodkan sebanyak 54 peratus.

Sementara itu, peratusan keluar mengundi merekodkan sebanyak 67.44 peratus setakat 5.00 petang hari ini.

Menurut SPR, seramai 1,809,185 daripada keseluruhan 2,682,642 pengundi biasa telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Berdasarkan statistik SPR, kadar keluar mengundi tertinggi dicatatkan di N.18 Sri Medan iaitu 77.2 peratus, diikuti N.20 Semarang (76.8 peratus) dan N.36 Sedili (74.3 peratus).

Tiga kawasan pula merekodkan peratusan keluar mengundi terendah iaitu N.46 Perling dengan 60.6 peratus, N.45 Stulang (60.5 peratus) dan N.06 Bekok (58.9 peratus).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.