
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kesemua 636 menara komunikasi yang dibina di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Sarawak kini telah diaktifkan dan beroperasi sepenuhnya, menurut Kementerian Komunikasi.
- Pengaktifan menara JENDELA Fasa 1 disahkan oleh MCMC berdasarkan pemantauan sehingga 30 April 2026.
- Sebanyak 109 menara di Parlimen Baram telah beroperasi untuk meningkatkan liputan perkhidmatan komunikasi tempatan.
- Kelewatan pengaktifan berpunca daripada cabaran teknikal dan logistik seperti akses tapak, cuaca, kebenaran tanah dan penghantaran peralatan.
- Kerajaan meneruskan inisiatif SMART600 dan kerjasama strategik agensi negeri untuk memperkukuh infrastruktur telekomunikasi di kawasan pedalaman.
Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis memaklumkan, pengaktifan sepenuhnya menara berkenaan disahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan pemantauan sehingga 30 April 2026.
“Kesemua 636 menara komunikasi yang telah siap dibina di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 telah diaktifkan dan beroperasi,” menurut jawapan bertulis itu.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab menjawab pertanyaan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) yang meminta kementerian menyatakan jumlah menara JENDELA yang siap dibina tetapi belum diaktifkan di Sarawak, termasuk di kawasan pedalaman seperti Baram.
Menurut kementerian itu lagi, daripada keseluruhan 636 menara itu, 109 menara terletak di Parlimen Baram dan kesemuanya telah beroperasi bagi menyediakan liputan perkhidmatan komunikasi yang lebih baik kepada penduduk setempat.
Kementerian itu menjelaskan, kelewatan yang berlaku sebelum ini dalam mengaktifkan sebahagian kecil menara berpunca daripada beberapa cabaran teknikal dan logistik.
Antaranya termasuk kesukaran akses ke tapak pembinaan akibat kerosakan jalan serta cuaca buruk, keperluan mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah, penggunaan kaedah penghantaran alternatif seperti bot bagi membawa peralatan, penyediaan sambungan backhaul gentian optik yang memerlukan kelulusan pihak utiliti serta pembinaan infrastruktur bekalan elektrik di kawasan pedalaman yang jauh daripada grid nasional.
“Walau bagaimanapun, semua isu tersebut telah berjaya diselesaikan dan kesemua menara komunikasi yang dibina di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 telah diaktifkan serta beroperasi sepenuhnya,” menurut jawapan bertulis itu.
Selain JENDELA, kerajaan Sarawak turut melaksanakan inisiatif SMART600 bagi memperluaskan liputan telekomunikasi di seluruh negeri.
Sehingga 30 April lalu, sebanyak 600 menara komunikasi di bawah inisiatif itu telah siap dibina dan beroperasi, termasuk 29 menara di Parlimen Baram.
Kementerian Komunikasi berkata, pihaknya bersama MCMC akan terus memperkukuh penyediaan infrastruktur komunikasi dan internet di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman, menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak.
Kerjasama itu melibatkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi memastikan pelaksanaan projek telekomunikasi berjalan lancar dan memberi manfaat optimum kepada rakyat.