BAP kepada pelajar baharu Tingkatan Enam ringankan beban keluarga

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Julai– Pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada pelajar baharu Tingkatan Enam disifatkan sebagai langkah tepat dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAP membantu menampung perbelanjaan awal pembelajaran dan keperluan pelajar baharu Tingkatan Enam.
  • Inisiatif mencerminkan komitmen kerajaan memperkasakan kualiti Tingkatan Enam dan menggalakkan pilihan prauniversiti untuk lepasan SPM.
  • Agihan dilakukan 28 Jun hingga 27 Julai di 616 Pusat Tingkatan Enam, melibatkan puluhan ribu pelajar baharu.

Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, bantuan itu dapat menampung sebahagian perbelanjaan awal persekolahan, termasuk pembelian keperluan pembelajaran.

Jelas beliau, inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam.

“Kerajaan terus berusaha meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam bagi memastikan laluan tersebut kekal sebagai pilihan yang berkualiti kepada lepasan SPM.

Usaha itu juga bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam merupakan antara pilihan terbaik yang sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, pemberian BAP itu dijangka menggalakkan lebih ramai lepasan SPM memilih Tingkatan Enam sebagai laluan prauniversiti.

Menurutnya, bantuan tersebut turut membantu pelajar baharu Tingkatan Enam membuat persediaan awal persekolahan.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan seramai 52,810 pelajar baharu Tingkatan Enam di seluruh negara menerima BAP sebanyak RM150 seorang.

Agihan bantuan itu dilaksanakan bermula 28 Jun hingga 27 Julai, membabitkan pelajar yang mendaftar di 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) pada 8 Jun lalu.

Secara keseluruhan, 96,013 pelajar Tingkatan Enam, termasuk pelajar baharu dan sedia ada, menerima BAP tahun ini dengan jumlah peruntukan RM14.4 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.