
GUA MUSANG, 10 Julai– Kemunculan pelbagai variasi durian premium termasuk Musang King tidak menenggelamkan populariti durian tempatan Tok Litok (D169), yang terus mendapat permintaan dalam kalangan penggemar raja buah.
- Hasil dari pokok berusia 30 tahun sekitar dua tan; kemuncak 300kg sehari, penghujung musim 100–200kg.
- Rasa manis berlemak, isi pejal, biji kecil; permintaan melebihi bekalan, pembeli sudah bertanya sebelum buah luruh.
- Benih dari Kampung Jelatok; harga awal musim RM15/kg, turun ke RM10/kg; pernah mencecah RM25/kg dua tahun lalu.
Pekebun durian Tok Litok di Kampung Batu Enam, Muhamad Rofi Ismail berkata, kira-kira dua tan hasil durian daripada pokok berusia 30 tahun berjaya dituai sepanjang musim kali ini.
Menurutnya, pada kemuncak musim, hasil tuaian mencecah 300 kilogram sehari.
Katanya, menjelang penghujung musim pula, hasil tuaian sekitar 100 hingga 200 kilogram sehari.
“Rasanya manis berlemak. Isinya pula pejal dan tidak lembik. Permintaan memang tidak mencukupi pada musim durian ini.
Buah belum sempat luruh, orang sudah bertanya. Ramai menganggap Tok Litok sekadar durian kampung kerana lebih mengenali Musang King dan Black Thorn,” katanya.
Muhamad Rofi berkata, benih durian Tok Litok diperoleh dari Kampung Jelatok, Tanah Merah.
Jelas beliau, isi yang tebal, pejal serta biji yang kecil menjadikan durian itu terus menjadi pilihan.
Beliau memaklumkan, harga Tok Litok pada awal musim mencecah RM15 sekilogram sebelum turun kepada RM10 sekilogram.
Menurutnya, dua tahun lalu harga durian itu pernah mencecah RM25 sekilogram berikutan pengeluaran buah yang sangat terhad.