Anutin berlepas ke Hat Yai, bakal rasmi jajaran baharu CIQ Sadao-ICQS bersama Anwar

Foto RTM

SEPANG, 10 Julai – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berlepas ke Hat Yai, Thailand dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, bagi meneruskan lawatan rasminya ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam (BKH), Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Thailand akan merasmikan jalan baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao, Thailand.
  • Kedua pemimpin akan merasmikan kemudahan rentas sempadan baru untuk mempertingkatkan kelancaran pergerakan barangan dan pelancong.
  • Anutin dan Anwar mengadakan mesyuarat dua hala membincangkan pengukuhan hubungan Bangkok-Kuala Lumpur serta kerjasama strategik.
  • Kedua pihak menyaksikan pemeteraian MoU pertanian dan menyasarkan nilai perdagangan dua hala AS$30 bilion menjelang 2027.

Anutin bersama isterinya, Thananon Niramit, berlepas menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Thailand selepas selesai menghadiri beberapa program rasmi di Putrajaya.

Keberangkatan beliau diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan isteri, selain pegawai-pegawai kanan kerajaan Malaysia serta Thailand.

Setibanya di Hat Yai, Anutin dijadual meneruskan perjalanan melalui laluan darat ke ICQS BKH bagi menyempurnakan majlis perasmian jalan baharu yang menghubungkan ICQS BKH dengan CIQ Sadao, Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyambut ketibaan Anutin dan delegasi Thailand di pintu masuk sempadan sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan lawatan ke ICQS BKH.

Kedua-dua pemimpin ini kemudiannya akan merasmikan pembukaan kemudahan rentas sempadan baharu yang dijangka mempertingkat kelancaran pergerakan barangan dan pelancong antara Malaysia dan Thailand.

Terdahulu ketika mengadakan lawatan rasmi di Putrajaya, Anutin mengadakan mesyuarat dua hala bersama Datuk Seri Anwar bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan Bangkok-Kuala Lumpur.

Fokus juga tertumpu kepada kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, keselamatan sempadan, pertanian, pelancongan, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dalam sektor pertanian.

Malaysia dan Thailand turut menyasarkan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$30 bilion (kira-kira RM127.5 bilion) menjelang 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.