Jenazah Ali Khamenei selamat dikebumikan di Mashhad

Orang ramai mengusung keranda Ali Khamenei ke Makam Imam Reza di Mashhad, Iran, sebelum upacara pengebumian/ AFP

MASHHAD, 10 Julai- Jenazah bekas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei dikebumikan di Makam Imam Reza di Mashhad pada Jumaat, lebih empat bulan selepas beliau terbunuh dalam serangan udara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribuan penduduk berhimpun untuk menyertai upacara doa semasa pengebumian.
  • Penyiar rasmi IRIB melaporkan jenazah dikebumikan dalam dewan peringatan kompleks makam.
  • Anaknya dan pengganti, Mojtaba Khamenei, tidak kelihatan semasa upacara.
  • Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat memuncak selepas serangan balas, disertai dakwaan kematian dan sasaran infrastruktur.

Upacara pengebumian itu berlangsung ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat kembali memuncak susulan serangan berbalas antara kedua-dua pihak dalam tempoh dua hari.

Menurut laporan media negara Iran, keranda Khamenei yang diselubungi bendera dibawa masuk ke kawasan makam berkenaan, manakala ribuan penduduk berhimpun untuk menyertai upacara doa.

Penyiar rasmi Iran, IRIB, melaporkan jenazah Khamenei dikebumikan di dewan peringatan dalam kompleks Makam Imam Reza.

Bagaimanapun, anaknya yang juga pengganti beliau, Mojtaba Khamenei tidak kelihatan pada upacara berkenaan.

Pengebumian itu berlangsung selepas beberapa siri acara penghormatan selama enam hari dengan kehadiran beberapa pemimpin kanan Iran termasuk Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Ketua Kehakiman, Gholamhossein Mohseni Ejei.

Khamenei terbunuh bersama anggota keluarga terdekatnya pada 28 Februari lalu dalam serangan udara ketika konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran tercetus.

Sementara itu, Iran dan Amerika Syarikat meneruskan serangan dengan pihak berkuasa Iran mendakwa serangan AS menyebabkan 17 kematian, manakala media negara itu melaporkan beberapa lokasi termasuk laluan kereta api Tehran-Mashhad menjadi sasaran.

Iran turut mendakwa melancarkan serangan balas terhadap aset AS di Kuwait, Bahrain dan Qatar, manakala Jordan memaklumkan pihak tenteranya memintas lapan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.

Ketegangan itu mencetuskan kebimbangan konflik lebih besar antara kedua-dua negara selepas beberapa siri serangan dan tindakan balas dalam beberapa bulan kebelakangan ini. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.