
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi keutamaan kepada projek pemasangan lampu jalan di kawasan titik panas yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan di seluruh negara.
- Kekangan peruntukan menyebabkan KKR tidak mampu memasang lampu sepanjang keseluruhan jalan Persekutuan.
- Peruntukan sedia ada disalurkan terlebih dahulu ke lokasi berisiko kemalangan tinggi.
- KKR mempunyai data lengkap mengenai lokasi strategik memerlukan pencahayaan, termasuk kawasan Tampin.
- Kementerian sentiasa mengambil maklum dan akan gunakan data bagi menentukan kawasan mengikut keutamaan dan peruntukan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu perlu dilakukan berikutan kekangan peruntukan yang menyebabkan kementerian tidak mampu memasang lampu di sepanjang keseluruhan jalan Persekutuan.
Menurut beliau, peruntukan sedia ada perlu disalurkan terlebih dahulu ke lokasi yang mempunyai risiko kemalangan lebih tinggi.
“Kita hanya boleh menumpukan dengan peruntukan yang ada kepada tempat-tempat yang berisiko tinggi kemalangan. Di situlah kita utamakan untuk pemasangan lampu jalan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu keadaan jalan Persekutuan yang kurang pencahayaan, khususnya laluan menuju kawasan rancangan Felda, berbanding beberapa jalan negeri di Negeri Sembilan yang dilihat lebih terang.
Datuk Seri Alexander berkata, KKR mempunyai data dan maklumat lengkap mengenai lokasi strategik yang memerlukan pemasangan lampu jalan, termasuk kawasan di Tampin.
Katanya, kementerian sentiasa mengambil maklum keperluan pencahayaan di laluan Persekutuan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
KKR akan terus menggunakan data sedia ada dalam menentukan kawasan pemasangan lampu jalan mengikut tahap keutamaan dan peruntukan yang diterima.