PRN Johor: Kebajikan rakyat, kos sara hidup jadi fokus Kartiyaini Di DUN Skudai

Foto RTM

JOHOR BAHARU, 9 Julai – Isu banjir kilat, penyediaan fasiliti mesra warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) serta kos sara hidup menjadi agenda utama yang diperjuangkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Kartiyaini Jeyapalan sepanjang tempoh berkempen PRN Johor ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengundi muda bawah 40 tahun mahukan perubahan serta lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan Skudai.
  • Kartiyaini memperhebatkan gerak kerja turun padang menjelang hari pengundian, dengan tempoh kempen berbaki dua hari.
  • Beliau menggesa pengundi luar, khasnya warga kerja di Singapura, pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.

Beliau berkata perkara itu merupakan antara keluhan dan kebimbangan yang disuarakan oleh penduduk setempat terutamanya golongan muda berusia bawah 40 tahun yang mengharapkan perubahan dan peluang pekerjaan lebih luas di kawasan berkenaan.

“Kebanyakan pengundi yang ditemui mahu kami mengatasi isu banjir di beberapa kawasan, selain memerlukan kemudahan infrastruktur yang lebih mesra OKU dan warga tua.

“Bagi anak muda pula, mereka mahukan peluang pekerjaan yang lebih banyak serta bantuan dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya ketika ditemui RTM disini.

Sehubungan itu, berbaki tempoh kempen yang hanya tinggal dua hari lagi, Kartiyaini kini memperhebat gerak kerja turun padang bagi menyantuni seramai mungkin penduduk.

Selain memberi tumpuan kepada isu kebajikan beliau bersama jentera kempennya turut mempertingkatkan usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat agar pengundi luar, khususnya mereka yang bekerja di Singapura, pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.