
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Perancis bersedia membantu Malaysia membangunkan tenaga nuklear awam sekiranya kerajaan Malaysia memutuskan untuk meneruskan pembangunan sektor itu pada masa hadapan.
- Keputusan meneruskan tenaga nuklear bergantung sepenuhnya kepada dasar dan keputusan kerajaan Malaysia.
- Perancis memiliki pengalaman dan kepakaran dalam industri nuklear termasuk pengurusan sisa radioaktif.
- Perancis menjalankan pemprosesan semula sisa nuklear untuk negara lain, termasuk Jepun, menggunakan teknologinya.
- Perancis sedia menjawab pertanyaan mengenai keupayaan pertahanan, memiliki kepakaran dalam pembangunan sistem peluru berpandu.
Menteri Perdagangan Luar Perancis, Nicolas Forissier, berkata negaranya mempunyai kepakaran, teknologi dan syarikat yang mampu menyokong pembangunan tenaga nuklear awam di Malaysia.
Beliau berkata, bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan pembangunan tenaga nuklear bergantung sepenuhnya kepada dasar dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.
“Kami bersedia membantu pihak berkuasa Malaysia dalam pembangunan tenaga nuklear awam. Namun, ia bergantung kepada perbahasan, pilihan dan keputusan yang akan dibuat oleh negara ini,” katanya.
Forissier berkata, Perancis mempunyai pengalaman luas dalam industri tenaga nuklear, termasuk pengurusan sisa radioaktif yang menjadi antara cabaran utama penggunaan tenaga berkenaan.
Menurut beliau, Perancis kini mengendalikan pemprosesan semula sisa nuklear dari pelbagai negara, termasuk Jepun, hasil teknologi yang dimiliki negara itu.
“Kami mempunyai kepakaran, syarikat dan pengetahuan teknikal. Kami juga banyak terlibat dalam pemprosesan semula sisa nuklear, yang merupakan isu penting. Jepun, sebagai contoh, menghantar sebahagian sisa nuklearnya ke negara kami kerana kami mempunyai teknologi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kerjasama Perancis dengan Malaysia dalam bidang tenaga nuklear.
Mengulas mengenai kerjasama pertahanan, Forissier berkata Perancis turut bersedia menjawab sebarang pertanyaan daripada kerajaan Malaysia berhubung keupayaan industri pertahanannya.
Beliau berkata, Perancis mempunyai kepakaran dalam pembinaan sistem peluru berpandu, namun enggan mengulas lanjut mengenai sebarang cadangan berkaitan pemerolehan aset pertahanan Malaysia.
“Kami bersedia menjawab sebarang pertanyaan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa Malaysia. Apa yang penting ialah aset pertahanan yang diperoleh mestilah berkesan. Kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi, tetapi Perancis mempunyai kepakaran dalam membangunkan sistem peluru berpandu,” katanya.
Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan Malaysia menerima beberapa cadangan daripada Perancis dan Itali berkaitan kerjasama dalam bidang tenaga nuklear awam – AFP