
ISKANDAR PUTERI, 9 Julai – Kerajaan bersetuju mengkaji semula pelaksanaan sistem e-Invois dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bukan warganegara bagi memberi ruang menilai semula beban yang ditanggung golongan peniaga dan majikan.
- Mesyuarat Jemaah Menteri setuju kajian semula termasuk pertimbangan penangguhan pelaksanaan selepas mendengar pandangan pemain industri.
- Penangguhan penting bagi memberi masa kepada peniaga, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk persediaan sistem, operasi dan pematuhan.
- Kerajaan akan mengkaji semula caruman KWSP dua peratus bagi pekerja bukan warganegara agar tidak membebankan majikan dan sektor perniagaan.
- Kerajaan melanjutkan pengecualian cukai TAR UMT selama 10 tahun, dengan syarat menghantar laporan kewangan dan audit tahunan ke Kementerian Kewangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Rabu.
“Kajian semula itu termasuk mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan kedua-dua dasar berkenaan selepas mengambil kira pandangan pemain industri serta komuniti perniagaan.
“Langkah itu penting bagi memberi lebih masa kepada peniaga, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), membuat persediaan dari segi sistem, operasi dan pematuhan sebelum e-Invois dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Iskandar Puteri, di sini.
Jelas beliau, penangguhan itu juga dijangka dapat mengurangkan tekanan kos pematuhan terhadap syarikat sekali gus memastikan pelaksanaan e-Invois dapat dilakukan secara lebih teratur dan berkesan.
Pada masa sama beliau memaklumkan, kerajaan turut bersetuju mengkaji semula pelaksanaan caruman wajib KWSP sebanyak dua peratus bagi pekerja bukan warganegara yang ditanggung majikan, bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan mengambil kira keupayaan syarikat dan tidak membebankan sektor perniagaan.
Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, cadangan mengkaji semula kedua-dua dasar itu sebelum ini diusulkan Barisan Nasional dan beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri serta Jemaah Menteri kerana menyokong cadangan tersebut.
Katanya, langkah berkenaan amat penting ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis di Asia Barat.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas persetujuan kerajaan melanjutkan tempoh pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) selama 10 tahun.
Beliau berkata, keputusan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor pendidikan tanpa mengira kaum atau fahaman politik, namun TAR UMT masih perlu mengemukakan laporan kewangan serta audit tahunan kepada Kementerian Kewangan.