Trump kecam sekutu NATO ketika Sidang Kemuncak utama bermula

Foto AFP

ANKARA, 8 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengecam sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada sidang kemuncak di Ankara hari ini, ketika impak konflik AS-Iran dilihat berisiko menjejaskan pertemuan penting tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump dakwa sekutu NATO gagal sokong kempen menentang Tehran; beliau umum gencatan senjata dengan Iran berakhir.
  • Hasrat Trump miliki Greenland dicemuh Eropah; Perdana Menteri Denmark tegas, Greenland bukan untuk dijual.
  • Trump kritik Sepanyol 'rakan kongsi NATO yang teruk', ancam hentikan perdagangan dan suruh setiausaha perbendaharaan putus hubungan.

Dakwa Trump, sekutu NATO gagal menyokong kempennya menentang Tehran selari dengan pengumuman beliau bahawa gencatan senjata dengan Iran berakhir.

Malah hasratnya untuk memiliki Greenland yang berada di bawah Denmark juga mendapat tentangan daripada Eropah.

“Saya sangat kecewa dengan NATO disebabkan apa yang mereka lakukan terhadap isu Greenland termasuk tidak mahu membantu AS menentang Iran,” katanya.

Trump juga mengkritik Sepanyol dengan menggelar negara itu sebagai “rakan kongsi NATO yang teruk”.

“Sepanyol adalah satu kerugian. Kami tidak mahu menjalankan sebarang urusan perdagangan lagi dengan Sepanyol,” katanya, sekali gus menghidupkan semula pertikaian yang turut menyentuh perbelanjaan pertahanan Madrid.

Beliau juga menggesa Setiausaha Perbendaharaannya, Scott Bessent untuk memutuskan hubungan tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dengan tegas membalas kenyataan Trump.

“Greenland, sudah tentu bukan untuk dijual,” ujarnya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.