Cuba sifatkan sekatan tenaga AS sebagai tindakan ‘perang’

Bruno Rodriguez/ REUTERS

NEW YORK, 8 Julai – Cuba menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang terus meningkatkan tekanan terhadap negara itu sebagai satu “tindakan perang”, ketika negara Caribbean berkenaan masih bergelut memulihkan bekalan elektrik selepas sistem grid nasionalnya terjejas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bruno Rodríguez berkata Amerika melancarkan perang pelbagai dimensi terhadap Cuba, berlarutan hampir tujuh dekad dan semakin kejam dalam tujuh bulan lalu.
  • Gangguan elektrik besar pada Isnin adalah insiden ketiga tahun ini, meninggalkan berjuta-juta penduduk tanpa bekalan.
  • Unión Eléctrica menyambungkan semula bekalan di tengah dari Mariel hingga Sancti Spíritus; timur dan barat masih terjejas.
  • AS menyekat bekalan bahan api dan memperketat sekatan ekonomi sebagai usaha pentadbiran Trump memaksa perubahan.

Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez berkata, tindakan Washington yang mengenakan tekanan berterusan terhadap Havana sejak hampir tujuh dekad lalu semakin memuncak dalam tempoh tujuh bulan kebelakangan ini.

“Kerajaan AS sedang melancarkan perang pelbagai dimensi yang tidak konvensional terhadap Cuba. Ia telah berlarutan hampir tujuh dekad dan menjadi semakin kejam dalam tempoh tujuh bulan lalu.

“Kini mereka memaksa Cuba berdepan keruntuhan sistem tenaga yang menyamai sekatan laut, dan itu adalah satu tindakan perang,” katanya.

Jutaan penduduk di negara kepulauan itu masih terputus bekalan elektrik selepas gangguan besar yang berlaku pada Isnin, iaitu insiden ketiga seumpamanya tahun ini.

Pihak berkuasa Cuba masih belum menjelaskan sepenuhnya punca gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan hampir 10 juta penduduk dan menyebabkan seluruh negara bergelap semalaman.

Sementara itu, pengendali grid nasional Cuba, Unión Eléctrica (UNE), memaklumkan bekalan elektrik di bahagian tengah negara itu berjaya disambungkan semula pada awal Selasa.

Bekalan berkenaan meliputi kawasan dari pelabuhan Mariel di barat hingga ke wilayah Sancti Spíritus, namun bahagian paling timur dan barat pulau itu masih belum menerima bekalan elektrik.

Kira-kira satu pertiga kawasan di ibu negara, Havana, kembali menerima bekalan elektrik pada pagi Selasa, namun sebahagian besar kawasan lain masih bergelap, manakala bekalan di kawasan yang telah dipulihkan pula masih tidak stabil.

Kejadian terbaharu itu berlaku ketika AS meningkatkan tekanan terhadap Cuba dengan menyekat bekalan bahan api ke negara berkenaan serta mengenakan sekatan ekonomi lebih ketat.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha pentadbiran Presiden AS Donald Trump untuk memaksa perubahan terhadap kerajaan Cuba. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.