
KLUANG, 7 Julai – Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disasarkan mencecah 96 peratus menjelang tamat tempoh proses pengundian pukul 5 petang nanti, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
- Peratusan keluar mengundi awal dicatat 82 peratus sehingga pukul 1 tengah hari.
- Daripada 20,607 pemilih awal, 4,144 undi pos (647 polis, 3,497 tentera); 64 pusat undi awal dibuka dengan waktu tutup bergilir.
- SPR terima 588 aduan sepanjang tempoh berkempen; 44 laporan polis dan tiga laporan kepada SPRM.
Sehingga pukul 1 tengah hari tadi, peratusan keluar mengundi awal direkodkan sebanyak 82 peratus.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kelancaran proses pengundian di semua pusat mengundi awal serta komitmen tinggi anggota keselamatan yang layak mengundi.
“Daripada (jumlah) 20,607….4,144 merupakan undi pos terdiri 647 polis dan 3,497 adalah tentera. Sebanyak 64 pusat undi awal dibuka di seluruh negeri Johor pukul 8 pagi. Terdapat beberapa kategori (dengan) 29 pusat mengundi ditutup 12 tengah hari tadi. Lima (pusat) ditutup pada pukul 2 petang. (Baki) 28 pusat mengundi awal ditutup pukul 5 petang.”
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Dewan Mahkota, Kem Mahkota, Kluang.
Sementara itu, SPR menerima 588 aduan berkaitan pelbagai kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen PRN Johor, setakat hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 44 laporan polis telah dibuat.
Selain itu, tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dibuat berhubung kesalahan berkaitan.