
HYDERABAD, 7 JULAI – Pusat kewangan India, Mumbai, dan wilayah sekitarnya kini terjejas teruk akibat impak kemusnahan susulan hujan monsun luar biasa.
- Sekurang-kurangnya 13 maut termasuk sebuah rumah runtuh di Mankhurd yang meragut enam nyawa.
- Laluan darat antara Mumbai dan Pune lumpuh selepas sebahagian 'Missing Link' rosak akibat tanah runtuh.
- Jalan raya dan landasan kereta api ditenggelami; penerbangan terganggu dan sekolah ditutup selepas amaran merah cuaca.
Sekurang-kurangnya 13 kematian berkaitan banjir telah dilaporkan, termasuk kejadian sebuah rumah runtuh di pinggir bandar Mankhurd di Mumbai yang mengorbankan enam nyawa pada petang Ahad, lapor media tempatan.
Laluan darat antara Mumbai dan Pune, sebuah bandar utama di negeri Maharashtra, lumpuh pada Isnin selepas sebahagian daripada laluan sepanjang 13.3 kilometer yang dikenali sebagai “Missing Link” mengalami kerosakan akibat tanah runtuh.
Beberapa video menunjukkan sebahagian daripada lebuh raya berkenaan ditenggelami air, manakala barisan kenderaan yang panjang mula terbentuk ekoran kesesakan lalu lintas yang terhenti sepenuhnya.
Anggota agensi pengurusan bencana berjaya menyelamatkan 20 orang, termasuk warga asing, dari sebuah pusat pendidikan di Lonavala.
Terdapat juga laporan mengenai ratusan penduduk yang diselamatkan dari pelbagai kawasan yang dilanda banjir di Maharashtra.
Jalan raya dan landasan kereta api yang ditenggelami air turut menjejaskan perkhidmatan pengangkutan di beberapa bahagian di negeri berkenaan.
Sesi persekolahan di Mumbai akan ditutup pada Selasa selepas Jabatan Meteorologi India mengeluarkan “amaran merah” berikutan jangkaan hujan lebat di bandar itu, selain di kawasan Thane, Raigad, Pune dan kawasan Ghats di Nashik.
Penerbangan udara di Mumbai juga terus terjejas akibat keadaan cuaca buruk, dengan berpuluh-puluh jadual penerbangan terganggu sejak hujung minggu lepas. – Bernama