Pelajar ditikam di sekolah stabil, alami banyak kesan tikaman – Bapa

Pelajar perempuan ditikam di sebuah sekolah menengah kini menerima rawatan di Hospital Banting / Foto RTM

BANTING, 6 Julai – Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang menjadi mangsa tikaman dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini, dilaporkan dalam keadaan sedar dan stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 14 hingga 16 kesan tikaman dilaporkan pada mangsa.
  • Kebanyakan tikaman tertumpu di bahagian belakang, dengan beberapa luka di muka termasuk bibir, dagu dan pipi.
  • Bapa dimaklumkan guru kelas kira-kira 9.30 pagi sebelum bergegas ke sekolah dan hospital.
  • Suspek berusia 15 tahun ditahan polis, motif masih disiasat dan mangsa dikatakan mengenali suspek.

Bapa mangsa, Muhammad Firuz Ibrahim memaklumkan, anaknya yang kini menerima rawatan di Hospital Banting mengalami luka yang teruk akibat kesan tikaman.

“Sekarang ini dia sedar. Boleh bercakap lagi. Setakat yang saya dimaklumkan, dia kena lebih kurang 14 hingga 16 kali tikaman.

“Kebanyakan tikaman tertumpu di bahagian belakang badan selain ada sedikit di bahagian muka, bibir, dagu dan pipi,” katanya.

Menurut Muhammad Firuz, pihaknya menerima panggilan daripada guru kelas anaknya kira-kira pukul 9.30 pagi yang memaklumkan anaknya telah ditikam, sebelum bergegas ke sekolah dan kemudian ke hospital.

Selain itu, Muhamad Firuz berkata, motif serangan belum dapat dipastikan, namun percaya anaknya mungkin bukan sasaran utama suspek.

“Mungkin suspek menyasarkan orang lain. Kebetulan, anak saya berada di kedudukan paling dekat. Itu yang anak saya kena.

“Ditambah pula, fizikal badan anak saya yang bersaiz besar sikit. Mungkin dia tak sempat nak melarikan diri sebab itu dia kena dulu,” ujarnya lagi.

Tambahnya, mangsa dikatakan mengenali suspek kerana mereka pernah sekelas pada tahun lalu.

Suspek yang turut berusia 15 tahun telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pagi tadi, seorang pelajar dipercayai ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting yang mencetuskan suasana panik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.