Cadangan Pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin sedang diteliti

Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Cadangan pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) sedang diteliti menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantu majikan mengekalkan produktiviti tanpa menjejaskan penyertaan tenaga kerja wanita.

RINGKASAN BERITA AI
  • PERKESO menyerap kos penggajian lanjutan bagi pekerja yang memerlukan cuti tambahan atau cuti sakit selepas tempoh cuti bersalin 98 hari.
  • Pekerja layak akan menerima faedah kewangan maksimum sehingga 30 hari semasa tempoh pemulihan lanjutan.
  • Pembiayaan dicadangkan menerusi KWIP pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan tanpa membebankan kerajaan atau syarikat.
  • Perkongsian liabiliti diharap membantu majikan mengekalkan pekerja berpengalaman dan mengurangkan diskriminasi pengambilan wanita.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, cadangan itu merangkumi beberapa pendekatan bagi membantu pekerja wanita yang memerlukan tempoh pemulihan selepas cuti bersalin termasuk penyerapan kos penggajian lanjutan.

“Pendekatan EPCB adalah seperti berikut. Pertama, menerusi penyerapan kos penggajian lanjutan. Sekiranya pekerja wanita memerlukan cuti tambahan, sama ada cuti tanpa gaji…

“…atau cuti sakit selepas tamat tempoh cuti bersalin selama 98 hari, kos bagi tempoh pemulihan lanjutan itu akan ditanggung oleh PERKESO. Pekerja yang layak juga akan menerima faedah kewangan bagi tempoh maksimum sehingga 30 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang ingin mengetahui purata gaji sebelum dan selepas pelanjutan cuti bersalin kepada 98 hari.

Cadangan itu turut merangkumi pembiayaan menerusi Dana Kumpulan Wang Insurans Pekerjaan (KWIP) pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan tanpa membebankan peruntukan kerajaan atau kewangan operasi syarikat.

Selain itu, pendekatan perkongsian liabiliti diyakini mampu membantu majikan mengekalkan pekerja berpengalaman, sekali gus mengelakkan diskriminasi dalam pengambilan pekerja wanita serta meningkatkan keyakinan industri dalam mendepani peningkatan kos operasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.