5.26 juta rakyat Malaysia daftar eCOSS, kekang ketirisan minyak masak bersubsidi

Datuk Dr Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Seramai 5.261 juta rakyat Malaysia telah mendaftar menggunakan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) setakat 3 Julai lalu, sekali gus membantu memperkukuh pemantauan pengedaran minyak masak paket bersubsidi satu kilogram dan mengekang ketirisan di pasaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aplikasi eCOSS merekodkan purata 14 juta transaksi setiap bulan, menunjukkan penggunaan berskala besar.
  • Jumlah aduan menurun ketara, daripada sembilan pada Jun 2025 kepada dua pada Jun 2026.
  • KPDN mengekalkan pembelian manual dan menyediakan bantuan di premis peruncit untuk warga emas dan pengguna tanpa telefon pintar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, aplikasi yang dilaksanakan secara rintis sejak 1 Mei 2025 itu turut merekodkan purata 14 juta transaksi setiap bulan.

“Kita lihat pada Jun 2025 terdapat sembilan aduan, namun pada Jun 2026 hanya dua aduan direkodkan. Ini menunjukkan penurunan yang ketara dari segi jumlah aduan.

“Begitu juga dengan jualan minyak masak paket. Di Johor, sebanyak 580,000 pengguna telah memuat turun aplikasi ini. Pada Jun 2025, jualannya hanya 1,350 paket.

“Tetapi selepas aplikasi e-COSS digunakan oleh 580,000 pengguna di Johor, jualan meningkat kepada 1.96 juta paket. Ini menunjukkan peningkatan yang sangat ketara di Johor, bukan sahaja dari segi pengurangan aduan ketidakberadaan, tetapi juga peningkatan penggunaan secara keseluruhan,” katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mengenai keberkesanan pelaksanaan aplikasi Mobile eCOSS sejak Mei 2025 dalam mengekang ketirisan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram di peringkat runcit serta langkah kementerian menangani aduan rakyat khususnya warga emas dan golongan kurang mahir di kawasan pedalaman serta luar bandar.

Datuk Dr Fuziah berkata, bagi memastikan warga emas tidak tercicir, KPDN mengekalkan kaedah pembelian secara manual bagi pengguna tanpa telefon
pintar, selain menyediakan bantuan di premis peruncit serta mempergiatkan usaha penerangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.