
SAUDARA PENGARANG
- Istilah pemasaran seperti 'Muslim-Friendly' atau 'No Pork No Lard' boleh mengelirukan pengguna mengenai status pensijilan halal.
- Halal ialah konsep menyeluruh, melibatkan sumber bahan, proses penyediaan, penyimpanan, pengendalian pekerja dan pencemaran silang.
- Pihak berkuasa menegaskan premis tanpa sijil halal tidak wajar menggunakan istilah yang memberi gambaran pensijilan.
- Pengguna mesti utamakan pengesahan rasmi, pengusaha pula perlu bertanggungjawab dan mengelak istilah yang menimbulkan salah faham.
Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju industri halal dunia dengan nilai eksport halal mencecah RM68.52 bilion. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan ekonomi halal negara, malah membuktikan tahap keyakinan yang tinggi terhadap integriti ekosistem halal Malaysia.
Namun, di sebalik perkembangan yang membanggakan ini, muncul satu cabaran yang semakin mendapat perhatian, iaitu penggunaan pelbagai istilah berkaitan halal seperti “Muslim-Friendly”, “No Pork No Lard”, “Pork Free”, “Serve No Pork” dan “No Alcohol” yang berpotensi mengelirukan pengguna.
Persoalannya, adakah masyarakat hari ini membuat keputusan berdasarkan pensijilan halal yang sah atau sekadar dipengaruhi oleh istilah yang kedengaran meyakinkan?
Dalam dunia pemasaran moden, bahasa memainkan peranan yang sangat penting. Satu perkataan atau frasa yang dipilih dengan tepat mampu mempengaruhi persepsi pengguna dan akhirnya menentukan keputusan pembelian.
Perkara ini tidak terkecuali dalam industri halal. Semakin banyak premis makanan, produk dan perkhidmatan menggunakan istilah tertentu bagi memberi gambaran bahawa tawaran mereka sesuai untuk pengguna Muslim.
Pada pandangan saya, penggunaan istilah-istilah tersebut mungkin dilihat sebagai usaha yang baik untuk membantu pengguna membuat pilihan yang lebih yakin. Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada pengguna benar-benar memahami maksud setiap istilah yang digunakan.
Adakah istilah-istilah tersebut membawa maksud yang sama dengan pensijilan halal, atau sekadar mewujudkan persepsi bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan itu memenuhi keperluan halal?
Di sinilah bermulanya kekeliruan. Ramai pengguna menganggap bahawa apabila sesebuah premis memaparkan kenyataan seperti “No Pork No Lard” atau “Pork Free”, maka makanan yang ditawarkan boleh dianggap halal. Begitu juga dengan istilah “Muslim-Friendly” yang sering dikaitkan dengan jaminan bahawa sesuatu premis sesuai untuk pelanggan Muslim.
Bagaimanapun, dari sudut pensijilan halal, istilah-istilah tersebut tidak semestinya membawa maksud bahawa premis atau produk berkenaan telah memenuhi semua keperluan halal yang ditetapkan.
Hakikatnya, halal bukan sekadar ketiadaan babi atau alkohol dalam sesuatu makanan. Halal merupakan satu konsep yang menyeluruh yang merangkumi sumber bahan mentah, proses penyediaan, penyimpanan, pengangkutan, kebersihan premis, pengendalian pekerja serta kawalan terhadap pencemaran silang.
Dalam erti kata lain, halal bukan hanya berkaitan apa yang terkandung dalam makanan, tetapi juga bagaimana makanan tersebut dihasilkan dan diuruskan sepanjang rantaian bekalan.
Menyedari potensi kekeliruan ini, pihak berkuasa agama telah mengambil pendirian yang jelas. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), misalnya, menegaskan bahawa premis yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tidak boleh menggunakan istilah seperti “Muslim-Friendly” atau “No Pork No Lard”.
Ia kerana penggunaan istilah tersebut boleh memberi gambaran bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan telah memenuhi piawaian halal walhal ia belum melalui proses pensijilan dan pengesahan yang sewajarnya.
Apa yang lebih menarik, isu ini bukan sekadar kebimbangan pihak berkuasa. Kajian akademik terkini turut menunjukkan bahawa masih terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna mengenai maksud sebenar istilah seperti “Muslim-Friendly”, “No Pork No Lard” dan “Serve No Pork”.
Dapatan tersebut membuktikan bahawa penggunaan istilah yang tidak jelas boleh mempengaruhi persepsi pengguna terhadap status halal sesuatu produk atau premis. Dalam keadaan tertentu, pengguna mungkin menganggap sesuatu premis telah memenuhi standard halal hanya berdasarkan istilah yang dipaparkan, sedangkan realitinya mungkin berbeza.
Fenomena ini menjadi lebih ketara dalam era media sosial. Hari ini, pengguna banyak bergantung kepada ulasan pelanggan, pempengaruh dan pencipta kandungan digital untuk mendapatkan maklumat mengenai sesuatu produk atau premis makanan.
Tidak sedikit kandungan yang mempromosikan sesebuah restoran sebagai “sesuai untuk Muslim” atau “selamat untuk dimakan oleh Muslim” tanpa menjelaskan status pensijilan halal yang sebenar. Apabila kandungan seperti ini menjadi tular, persepsi yang terbentuk sering kali lebih kuat daripada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Keadaan ini menimbulkan satu persoalan yang lebih besar. Adakah masyarakat kini semakin bergantung kepada bahasa pemasaran berbanding pengesahan yang sah? Dalam dunia digital yang bergerak pantas, pengguna cenderung memilih maklumat yang ringkas dan mudah difahami.
Akibatnya, istilah tertentu mula berfungsi sebagai “jalan pintas” kepada keyakinan pengguna walaupun tidak semestinya mencerminkan realiti sebenar.
Sudah tentu, perbincangan ini tidak bermaksud semua istilah tersebut perlu dihapuskan. Sebaliknya, yang lebih penting ialah memastikan pengguna memahami perbezaan antara istilah pemasaran dan pensijilan halal.
Sebagai contoh, istilah “Muslim-Owned” hanya merujuk kepada pemilikan perniagaan oleh individu Muslim dan bukannya pengesahan bahawa premis tersebut mempunyai sijil halal.
Begitu juga “No Pork No Lard” hanya menunjukkan bahawa babi dan lemak babi tidak digunakan, tetapi tidak memberi maklumat tentang sumber bahan mentah lain, proses penyediaan makanan atau kemungkinan berlakunya pencemaran silang.
Dalam masa yang sama, pengusaha juga perlu memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab. Kepercayaan pengguna merupakan aset paling berharga dalam industri halal.
Sebarang penggunaan istilah yang boleh menimbulkan salah faham mungkin memberikan kelebihan pemasaran dalam jangka pendek, namun boleh menjejaskan reputasi perniagaan dalam jangka panjang apabila pengguna merasakan mereka tidak menerima maklumat yang jelas dan tepat.
Sebagai sebuah negara yang sering dijadikan rujukan dalam pembangunan industri halal global, Malaysia perlu terus memperkukuhkan bukan sahaja sistem pensijilan dan penguatkuasaan, tetapi juga tahap literasi halal dalam kalangan masyarakat.
Pengguna yang mempunyai kefahaman yang baik tidak akan mudah terpengaruh dengan slogan atau istilah yang menarik perhatian semata-mata. Sebaliknya, mereka akan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang sahih, telus dan boleh disahkan.
Dalam dunia pemasaran yang semakin kreatif, bahasa mempunyai kuasa untuk membentuk persepsi dan mempengaruhi keputusan pengguna. Namun apabila melibatkan halal, kepercayaan tidak seharusnya dibina semata-mata melalui istilah yang menarik perhatian.
Sebaliknya, ia perlu disandarkan kepada maklumat yang jelas, telus dan boleh disahkan. Jika tidak, kita berisiko mewujudkan masyarakat yang lebih mempercayai slogan berbanding pensijilan, sedangkan integriti halal yang sebenar terletak pada pematuhan, bukan persepsi.
Mungkin sudah tiba masanya kita bertanya kepada diri sendiri: Apabila membuat pilihan hari ini, adakah kita benar-benar berpandukan pensijilan yang sah, atau sekadar dipengaruhi oleh bahasa yang kedengaran meyakinkan?
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Muhamad Fikri Aziz
Felo Bersekutu
Institut Pengurusan Halal (IHM) UUM
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Perniagaan Islam
Universiti Utara Malaysia
E-mel: mdfikri@uum.edu.my