
MEXICO CITY, 5 Julai– Semangat berpasukan menjadi kekuatan utama Mexico menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang England awal pagi Isnin.
- Aguirre pilih pemain sanggup mengetepikan kepentingan diri, utamakan kemampuan untuk kebaikan pasukan.
- England dianggap lengkap dari segi fizikal dan teknikal; Harry Kane pemain bertaraf dunia mesti dikawal secara berpasukan.
- Pengalaman Raul Jimenez di Liga Perdana Inggeris jadi kelebihan, namun dia kekal rendah diri dan utamakan pasukan.
Jurulatih Mexico, Javier Aguirre berkata, beliau memilih pemain yang sanggup mengetepikan kepentingan diri demi kejayaan pasukan.
“Kami memilih pemain yang tidak mengutamakan bakat individu, sebaliknya meletakkan kemampuan mereka untuk kepentingan pasukan.
Mereka mengetepikan ego dan bermain dengan penuh rendah diri,” katanya dalam sidang media di sini.
Tambah Aguirre, semangat itu perlu diteruskan ketika berdepan England yang disifatkannya sebagai pasukan lengkap dari segi fizikal dan teknikal.
Beliau turut mengakui penyerang England, Harry Kane, merupakan antara pemain terbaik dunia dan perlu dikawal secara berpasukan.
“Harry Kane ialah pemain bertaraf dunia. Kami akan memastikan dia tidak selesa di atas padang dan sentiasa dikawal supaya tidak dapat mengatur permainan,” katanya.
Dalam pada itu, Aguirre menyifatkan pengalaman penyerang Raul Jimenez dalam Liga Perdana Inggeris sebagai satu kelebihan buat Mexico.
Namun, beliau berkata, Jimenez tetap mengutamakan pasukan dan tidak pernah menganggap dirinya sebagai bintang.
“Dia sentiasa membantu pasukan dan tidak pernah menunjukkan sikap seperti seorang bintang,” katanya. -REUTERS