
JOHOR BAHRU, 3 Julai – Tabika KEMAS di Johor memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dan penggunaan teknologi baharu dalam proses pembelajaran sebagai usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.
- Pelaksanaan Tabika KEMAS Bangsa Johor di empat premis sedia ada bagi melengkapkan ekosistem Sekolah Rintis Johor.
- Lawatan Tabika KEMAS dan majlis ramah mesra di Flat Perumahan Larkin oleh Timbalan Perdana Menteri.
- Kerajaan Johor membelanjakan lebih RM3.6 juta untuk naik taraf infrastruktur, latihan guru dan pemerkasaan silibus pembelajaran.
- Peruntukan RM1.4 juta untuk menaik taraf tiga blok Flat Perumahan Larkin termasuk kerja mengecat semula.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi Tabika KEMAS Bangsa Johor di empat premis sedia ada bagi melengkapkan ekosistem Sekolah Rintis Johor.
“Keistimewaan tabika ini ialah penekanannya terhadap pembelajaran bahasa Inggeris.
“Kaedah pembelajaran juga menggunakan teknologi baharu. Pembelajaran tidak lagi bergantung kepada papan putih, sebaliknya menggunakan komputer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lawatan Tabika KEMAS dan Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Setempat di Flat Perumahan Larkin, di sini, hari ini.
Bagi memperkasa pendidikan awal kanak-kanak, Kerajaan Johor membelanjakan lebih RM3.6 juta bagi kerja naik taraf infrastruktur, latihan guru serta pemerkasaan silibus pembelajaran.
Dalam pada itu, sebanyak RM1.4 juta turut diperuntukkan bagi kerja menaik taraf tiga blok Flat Perumahan Larkin, termasuk mengecat semula bangunan.