
ALOR SETAR, 3 Julai- Kehadiran dua bekas pemain Kedah yang pernah beraksi dalam Liga Super dijangka mencuri tumpuan pada perlawanan pembukaan Bola Sepak Liga Kedah 2026 Piala DZR yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) di Jitra, malam ini.
- Al Hafiz Harun dari Jentayu FC dijangka mempamerkan aksi lincah yang menarik perhatian malam ini.
- Azmeer Yusof bersama MADA FC dikenali sebagai pertahanan kental dan dijangka jadi tumpuan perlawanan.
- Kejohanan PBMK 2026 melibatkan 16 pasukan, berlangsung tiga bulan, pusingan akhir 10 Oktober dan hadiah keseluruhan RM16,000.
Antara yang menjadi perhatian ialah pemain lincah, Al Hafiz Harun yang mewakili Jentayu FC dari Langkawi dan pertahanan kental, Azmeer Yusof yang kini bersama MADA FC.
Perlawanan yang bermula 8.45 malam itu dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain berkenaan bakal memperagakan aksi masing-masing dalam pertembungan Jentayu FC menentang MADA FC.
Perasmian perlawanan itu akan disempurnakan oleh Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim yang menyeru peminat bola sepak tempatan hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan pembukaan berkenaan.
Kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK) itu membabitkan 16 pasukan dari seluruh Kedah dan akan berlangsung selama tiga bulan bermula hari ini di Stadium Mini MPKP dan Stadium Mini Pendang.
Pusingan akhir dijadualkan pada 10 Oktober depan dengan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM16,000.