Trak PBB diserang di Sudan, 50 tan bantuan kemanusiaan musnah

Wanita dan kanak-kanak beratur menunggu makanan di kem al-Mohayra dekat bandar El-Obeid.  Foto AFP

NEW YORK, 3 Julai – Sebuah trak disewa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah diserang dengan dron di Sudan menyebabkan 50 tan bekalan bantuan kemanusiaan, musnah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik antara tentera kerajaan dan RSF sejak April 2023 menimbulkan krisis kemanusiaan teruk.
  • Ribuan nyawa terkorban; jutaan melarikan diri; lebih 12 juta kehilangan tempat tinggal.
  • Bekalan bantuan penting musnah, termasuk selimut, tong air, peralatan dapur, tikar, kepingan plastik dan lampu solar; ribuan kini kehilangan bantuan kecemasan.

Sudan yang bergolak sejak April 2023 akibat pertempuran antara tentera kerajaan dengan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF), terus berdepan krisis kemanusiaan yang serius.

Menurut PBB, konflik itu mengorbankan puluhan ribu nyawa serta memaksa jutaan penduduk melarikan diri.

Manakala, lebih 12 juta orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal.

“Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan sebuah trak yang membawa bantuan kemanusiaan diserang dron pada Rabu di negeri Darfur Barat, ” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Beliau berkata, pemandu trak itu tidak cedera, namun sebanyak 50 tan metrik bekalan bantuan musnah dalam serangan berkenaan.

Bekalan yang musnah termasuk selimut, tong air, set peralatan dapur, tikar tidur, kepingan plastik dan lampu solar.

“Kesemua bekalan itu sepatutnya disalurkan kepada golongan paling terdedah yang terjejas akibat konflik, namun kini musnah sepenuhnya akibat serangan tersebut,” kata Dujarric.

Tambah beliau, ribuan penduduk yang bergantung kepada bantuan berkenaan kini tidak lagi dapat menerima bantuan kecemasan yang amat diperlukan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.