
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Sebanyak 393 insiden kecurian kabel direkodkan sejak tahun 2024 hingga bulan lepas, membabitkan kabel sepanjang 19,756 meter dengan kerugian dianggarkan RM16.3 juta.
- Kerajaan sedang memperhalusi pindaan undang-undang untuk mengenakan hukuman lebih tegas terhadap pencerobohan, vandalisme dan kecurian aset kereta api.
- Pindaan dijangka dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini.
- Pengawasan diperkuat melalui penggunaan dron dan pemasangan sistem CCTV pintar berasaskan kecerdasan buatan di lokasi berisiko.
- Kerjasama dengan PDRM diperkuat termasuk mendekati pengusaha besi buruk, dan KTM dilengkapi motosikal scrambler untuk tingkatkan rondaan Polis Bantuan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan sedang memperhalusi pindaan undang-undang bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap kesalahan pencerobohan, vandalisme dan kecurian aset kereta api.
Menurut beliau, pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini.
“Banyak perkara perlu dipinda kerana undang-undang yang ada sekarang terlalu lemah. Bayangkan, hukuman bagi kesalahan menceroboh hanya antara RM500 hingga RM1,000.
“Pencurian kabel melibatkan isu keselamatan, jadi penalti yang lebih berat perlu dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Jelasnya, pelbagai inisiatif lain dilaksana untuk mengekang kes kecurian kabel termasuk menggunakan dron bagi memperkukuh pemantauan udara di lokasi panas yang sukar diakses menerusi rondaan biasa.
Railway Assets Corporation (RAC) turut memasang 1,146 unit sistem televisyen litar tertutup pintar berasaskan kecerdasan buatan di lokasi berisiko tinggi.
Selain itu, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperkukuh, termasuk mendekati pengusaha dan peniaga besi buruk supaya tidak membeli barangan curi.
Keretapi Tanah Melayu Berhad pula mendapat kelulusan memperoleh 20 motosikal scrambler untuk kegunaan Polis Bantuan bagi meningkatkan rondaan, mempercepat tindak balas dan memperkukuh kehadiran penguatkuasaan di kawasan rel berisiko.