Podium Asia penanda aras misi juara Sukan SEA 2027

Jefri Ngadirin

KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Majlis Sukan Negara (MSN) menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus atlet meraih podium di peringkat Asia menjelang hujung tahun ini, sebagai petunjuk awal keupayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027 di laman sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa kedua sasaran: 90 peratus atlet diharapkan berada dalam kelompok tiga terbaik di peringkat Asia.
  • Pemantauan prestasi bulanan dan penilaian menyeluruh oleh Jawatankuasa Penilaian dan Audit Prestasi pada November.
  • Keputusan rayuan 28 jenis sukan termasuk teqball, padel, bina badan dan kabaddi akan diputuskan pada Mesyuarat SEAGF 16 Julai.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, ia merupakan sasaran fasa pertama sebelum ditingkatkan kepada 90 peratus atlet untuk berada dalam kelompok tiga terbaik Asia pada fasa berikutnya.

“Sekiranya kita dapat ‘tracking’ hingga Disember ini dan capai 70 peratus, kita ada potensi untuk bergerak lagi tinggi. Untuk fasa kedua, kita jangkakan 90 peratus atlet dapat menduduki podium atau ranking satu hingga tiga di peringkat Asia,” katanya.

Beliau menyatakannya dalam sidang media selepas sesi jalinan penajaan sukan bersama persatuan sukan kebangsaan (PSK) 2026 di sini.

Bagi memastikan sasaran dapat direalisasikan, pemantauan prestasi atlet akan dilaksana setiap bulan, sementara penilaian menyeluruh pula akan dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian dan Audit Prestasi pada November depan, bagi mengukur tahap kesiapsiagaan kontinjen negara selaku tuan rumah edisi ke-34 temasya sukan dwitahunan tersebut.

Selain itu, Jefri memaklumkan sebanyak 28 jenis sukan termasuk teqball, padel, bina badan dan kabaddi telah mengemukakan rayuan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.

Katanya, keputusan mengenai rayuan tersebut dijangka diputuskan pada Mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) di Petaling Jaya pada 16 Julai ini.

Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September melibatkan empat kluster iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, dengan Sarawak menjadi lokasi upacara pembukaan manakala Kuala Lumpur menjadi tuan rumah majlis penutup.

Mengulas mengenai sasaran pingat pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Jefri berkata, perkara itu akan diumumkan Ketua Kontinjen, Datuk Awalan Abdul Aziz pada majlis penyerahan Jalur Gemilang, 16 Julai ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.