
PUTRAJAYA, 1 Julai – Kementerian Kewangan (MOF) giat melaksanakan sesi libat urus bersama pelbagai kementerian dan agensi di seluruh negara sebagai persediaan merangka Belanjawan 2027 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
- Sesi libat urus penting untuk memastikan belanjawan selari dengan hala tuju dasar kerajaan dan keperluan ekonomi semasa.
- Kerangka Ekonomi MADANI dijadikan struktur utama, memberi tumpuan kepada meningkatkan siling dan lantai ekonomi.
- Dasar sedia ada seperti RMK13, NSS dan NETR menjadi panduan; fiskal kekal konsisten demi menjadikan Malaysia negara maju 2030.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sesi berkenaan merupakan proses penting bagi memastikan belanjawan yang dirangka selari dengan hala tuju dasar kerajaan serta keperluan semasa ekonomi negara.
Menurut beliau, sesi libat urus itu telah pun dimulakan dan akan terus diperluaskan ke pelbagai kementerian serta lokasi terpilih di seluruh negara secara berperingkat.
“Usaha ini mengambil masa dan perlu dilaksanakan secara berfasa agar selaras dengan hala tuju kerajaan.
“Kita menggunakan kerangka Ekonomi MADANI sebagai struktur utama, dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan ‘siling’ dan ‘lantai’ ekonomi sebagai dua petunjuk penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan inisiatif BUDI Diesel di sebuah stesen minyak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa beberapa dasar sedia ada terus menjadi panduan utama kerajaan dalam merangka pembangunan negara, termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Tambahnya, kerajaan komited memastikan pendekatan fiskal negara kekal konsisten dengan kerangka Ekonomi MADANI, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2030.