K.Dinesvaran dilantik Ketua Jurulatih baharu Bunga Raya 15s

Foto FB K. DINESVARAN

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) secara rasmi mengumumkan pelantikan bekas bintang ragbi kebangsaan, K.Dinesvaran sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan ragbi lelaki 15 sebelah kebangsaan (Bunga Raya 15s)

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman luas, kepimpinan dan pemahaman corak permainan moden beliau dijadikan sandaran utama KRM.
  • Tugasan pertama beliau: memimpin cabaran Malaysia di Kejohanan SEARF Men's XV Union Cup di Bangkok, 12 hingga 18 Julai 2026.
  • Skuad akan berkampung di UPSI, Tanjung Malim untuk Kem Latihan Pusat bermula 1 hingga 9 Julai sebelum berlepas ke Bangkok.
  • Pemilihan pemain berdasarkan prestasi semasa di Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi Ke-42 2026 dan kekal sebagai platform utama saringan bakat.

Pelantikan K. Dinesvaran yang lebih dikenali dengan gelaran “Dugro” ini dilihat sebagai permulaan fasa baharu dalam usaha memperkasa semula skuad kebangsaan di persada antarabangsa.

KRM menerusi kenyataan memaklumkan, pengalaman luas, kepimpinan serta pemahaman mendalam beliau terhadap corak permainan moden menjadi sandaran utama KRM.

“Pengalaman yang dimiliki beliau sebagai bekas pemain kebangsaan dan profesional dijangka menjadi aset penting dalam membentuk sebuah pasukan yang lebih berdaya saing, berdisiplin dan mampu bersaing di pentas antarabangsa,” katanya.

Tugasan pertama Dinesvaran adalah memimpin cabaran Malaysia dalam Kejohanan SEARF Men’s XV Championship 2026 – Union Cup yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 12 hingga 18 Julai depan.

Skuad Bunga Raya 15s akan berkampung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak bagi menjalani Kem Latihan Pusat bermula 1 hingga 9 Julai sebelum berlepas ke Bangkok pada keesokan harinya.

Dalam pada itu, pemilihan barisan pemain yang bakal menggalas cabaran negara akan dibuat berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan sepanjang Kejohanan Ragbi Piala
Agong Edisi Ke-42 2026.

KRM menegaskan bahawa kejohanan berprestij itu kekal menjadi platform utama dalam menyaring bakat terbaik untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.

Kejohanan Union Cup di Bangkok itu dijangka mengumpulkan lapan pasukan terbaik dari rantau Asia Tenggara, sekali gus menjadi medan ujian penting bagi Dinesvaran dalam meningkatkan kedudukan pasukan di peringkat serantau.

Dinesvaran bukan nama asing dalam sukan ragbi tanah air kerana merupakan bekas pemain profesional dan pernah beraksi di luar negara serta mewakili Malaysia dalam pelbagai kejohanan besar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.