
MELAKA, 29 Jun- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal mengisi 560 kekosongan jawatan di seluruh negara selepas menerima kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF).
- 38 jawatan akan diisi melalui senarai simpanan sedia ada bagi gred kanan; selebihnya akan diiklankan melalui SPA.
- Pengambilan dijangka dibuat awal tahun hadapan melibatkan keperluan anggota di seluruh negara.
- JBPM masih berdepan kira-kira 1,900 kekosongan jawatan di seluruh negara.
- Kenal pasti keperluan 81 balai bomba baharu; 15 sedang dibina, empat dicadangkan dalam Rancangan Malaysia, baki menunggu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 38 jawatan akan diisi menerusi calon dalam senarai simpanan sedia ada bagi gred kanan, manakala baki 522 jawatan akan diiklankan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Beliau berkata pengambilan berkenaan dijangka dibuat bagi pengisian awal tahun hadapan melibatkan keperluan anggota di seluruh negara.
Menurutnya, pengambilan itu turut bertujuan menggantikan kekosongan sedia ada selain menampung keperluan perjawatan susulan pertambahan balai bomba baharu.
“JBPM telah menerima kelulusan daripada JPA dan MOF bagi penambahan atau penggantian kekosongan sebanyak 560 perjawatan.
“Daripada jumlah itu, 38 akan diisi melalui senarai simpanan sedia ada bagi gred kanan, manakala selebihnya akan mula diiklankan melalui SPA bagi tujuan pengambilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Cheng di sini hari ini.
Pada masa ini, JBPM masih berdepan kira-kira 1,900 kekosongan jawatan di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Nor Hisham berkata JBPM mengenal pasti keperluan pembinaan 81 balai bomba baharu berdasarkan analisis risiko kebakaran bagi setiap kawasan seluas 100 kilometer persegi.
Beliau berkata ketika ini 15 pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu sedang dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh satu hingga empat tahun.
“Daripada 81 itu, kita telah jajarkan (cadangkan) empat untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia (RP) Kedua dan telah dicadangkan kepada Kementerian Ekonomi serta MOF.
“Manakala baki 77 masih berada dalam senarai menunggu. Selain itu, kita turut melihat perancangan pembangunan kerajaan negeri termasuk perkembangan kawasan industri baharu serta pembangunan berorientasikan transit (TOD) bagi menentukan keperluan secara dinamik,” katanya.
Secara keseluruhan, JBPM kini mempunyai 344 balai bomba yang sedang beroperasi di seluruh negara.