BAKAT MADANI buka lebih 5,000 peluang pekerjaan

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan program inisiatif Bakat MADANI yang dilancarkan hari ini/Facebook: Anwar Ibrahim

SEREMBAN, 29 Jun- Inisiatif BAKAT MADANI dijangka membuka lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor strategik selain memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama kerajaan dengan GLIC (PNB, KWAP, LTAT) menyediakan latihan, pembangunan bakat dan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.
  • Program fokus pada latihan bersesuaian keperluan industri untuk membina laluan kerjaya dan memudahkan penempatan pekerjaan khusus.
  • Diilancarkan Perdana Menteri, inisiatif menyasarkan 25,000 individu bagi meningkatkan kemahiran, peluang kerja berkualiti dan mobiliti sosial.

Menerusi kerjasama kerajaan bersama Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), inisiatif itu menyediakan peluang latihan, pembangunan bakat serta pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

Pemangku Presiden PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata kerjasama berkenaan penting bagi memastikan matlamat BAKAT MADANI tercapai termasuk memperluas peluang pekerjaan kepada peserta.

“Kita akan bergabung tenaga dan bekerjasama untuk memastikan kejayaan program BAKAT MADANI ini.

“Kita akan sumbangkan lebih daripada 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor-sektor strategik seperti pembuatan, kewangan, perladangan dan automotif,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian program berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah berkata program berkenaan memberi fokus kepada latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri bagi membantu peserta membina laluan kerjaya.

“Penempatan ini mungkin sementara, tetapi kita fokus kepada latihan yang memastikan mereka boleh membantu syarikat-syarikat berkenaan. Selepas tamat latihan, mereka boleh meneruskan perjalanan kerjaya dalam bidang lebih khusus mengikut pilihan masing-masing,” katanya.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi pula berkata, BAKAT MADANI turut membantu anggota yang beralih daripada perkhidmatan dengan memadankan kepakaran serta pengalaman mereka dengan keperluan industri.

“Pendekatan ini mengambil kira segala kepakaran dan kelayakan mereka semasa berkhidmat untuk mencari peluang dalam industri yang boleh memanfaatkan pengalaman mereka serta memberikan pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Pelajar Akademi TVET UNIRAZAK Kuala Lumpur, Muhammad Fatihin Luzman Muhammad Azizi berkata BAKAT MADANI membantu peserta memberi fokus kepada bidang kemahiran khusus sekali gus memudahkan proses pembelajaran.

“Bakat MADANI ini membantu pelajar kerana ia memberi fokus kepada satu bidang sahaja. Contohnya dalam sistem komputer, pelajar akan lebih tertumpu kepada bidang itu dan lebih mudah memahami pembelajaran dengan lebih cepat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Inisiatif Bakat MADANI yang menyasarkan 25,000 individu bakal menerima manfaat.

Inisiatif berkenaan menumpukan kepada pembangunan kemahiran, penyediaan pekerjaan berkualiti serta peningkatan mobiliti sosial.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.