
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kerajaan akan memperkukuh pembangunan perkhidmatan digital negara secara tersusun menerusi Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) sebagai persediaan menghadapi era kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi berasaskan data, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- MD2030 ialah pelan strategik negara untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi perubahan teknologi serta memperkukuh daya tahan terhadap ketidaktentuan geopolitik.
- Kerajaan utamakan pelaksanaan tersusun, berdisiplin dan berimpak supaya manfaat sampai kepada rakyat dan daya saing perniagaan diperkukuh.
- Perkhidmatan digital dibangunkan dalaman di bawah Kementerian Digital dan Jabatan Digital Negara untuk pelihara keselamatan data dan bina kepakaran awam.
Beliau berkata MD2030 merupakan pelan strategik negara untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi perubahan teknologi dan ekonomi digital global, di samping memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik serta persaingan ekonomi digital.
“MD2030 ialah ikhtiar strategik negara untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi era kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi berasaskan data, sekali gus memperkukuh daya tahan Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik serta persaingan ekonomi digital global,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut memaklumkan keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap inisiatif di bawah pelan itu dilaksanakan secara tersusun, berdisiplin dan berimpak agar memberi manfaat kepada rakyat selain memperkukuh daya saing perniagaan serta memacu Malaysia ke arah sebuah negara ai yang inklusif menjelang 2030.
Tambah Perdana Menteri perkhidmatan digital kerajaan perlu dibangunkan secara dalaman di bawah penyelarasan Kementerian Digital menerusi Jabatan Digital Negara.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan data negara, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta membangunkan kepakaran digital dalam sektor awam.
“Dengan iltizam seluruh jentera Kerajaan MADANI, MD2030 akan menjadi agenda nasional yang mengubah cara kerajaan bekerja, menyampaikan perkhidmatan dan membina masa depan negara”, ujar beliau dalam kenyataan.