Gempa bumi: Jumlah mangsa korban meningkat kepada 1,450 orang

Pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan di Caraballeda, La Guaira/Foto AFP

LA GUAIRA, 29 Jun – Angka korban gempa bumi di Venezuela meningkat kepada 1,450 orang manakala hampir 200 bangunan dilaporkan runtuh sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan kecemasan bersama anjing pengesan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan runtuhan.
  • Seorang lelaki dan anaknya ditemui masih hidup di bawah runtuhan oleh pasukan penyelamat dari Perancis dan Amerika Syarikat.
  • Tempoh kritikal 72 jam untuk menyelamatkan mangsa telah berlalu; operasi kini bertukar kepada pengesanan dan pengeluaran mayat.
  • Jutaan penduduk terancam kekurangan sanitasi dan keperluan asas; laporan rompakan serta kecaman terhadap kelewatan bantuan.

Pasukan kecemasan bersama anjing pengesan meneruskan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa yang masih hidup selepas dua gempa bumi kuat melanda negara itu.

Seorang lelaki bersama anaknya ditemukan masih hidup di bawah timbunan runtuhan pada Ahad oleh pasukan penyelamat dari Perancis dan Amerika Syarikat di Caraballeda, sebuah bandar kira-kira 40 kilometer di utara Caracas.

Penemuan itu memberi sedikit sinar harapan di tengah-tengah tragedi yang melanda negara yang sedang bergelut dengan krisis ekonomi.

Bagaimanapun, puluhan ribu orang masih dilaporkan hilang manakala tempoh kritikal 72 jam untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap selepas bencana kini telah berlalu.

Manakala jutaan penduduk lagi dikhuatiri berdepan kekurangan kemudahan sanitasi dan keperluan asas lain.

Pasukan penyelamat dari Amerika Syarikat, Mexico dan beberapa negara lain terus bertungkus-lumus mencari mangsa, sementara penduduk tempatan menggali timbunan runtuhan dengan tangan bagi menyelamatkan ahli keluarga yang dipercayai masih terperangkap di bawah bangunan pangsapuri yang runtuh.

Pasukan penyelamat mengangkat mangsa yang masih hidup di Caraballeda, La Guaira/Foto AFP

Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodriguez berkata sebanyak 774 bangunan mengalami kerosakan teruk akibat dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang berlaku Rabu lalu termasuk 189 bangunan yang musnah sepenuhnya.

Di La Guaira, antara kawasan yang paling teruk terjejas, Hector Aguilera masih mencari empat ahli keluarganya yang tertimbus di bawah runtuhan.

“Kami tidak mendapat bantuan untuk mengeluarkan ahli keluarga dan kami tidak mampu melakukannya sendirian. Mereka tertimbus di bawah sana dan kami tahu mereka sudah meninggal dunia namun kami tetap berada di sini,” katanya.

Pakar menjelaskan bahawa 72 jam pertama selepas sesuatu bencana merupakan tempoh paling kritikal untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup.

Selepas tempoh itu, operasi biasanya bertukar kepada usaha mengesan dan mengeluarkan mayat mangsa.

Di kawasan San Bernardino di Caracas, sukarelawan memanjat runtuhan sebuah bangunan menggunakan gerudi untuk memecahkan konkrit dan membentuk rantaian manusia bagi mengalihkan runtuhan secara manual.

Di Chacao pula, satu lagi kawasan di ibu negara, skrin elektronik besar yang lazimnya digunakan untuk pengiklanan memaparkan wajah individu yang dilaporkan hilang sebagai usaha membantu mengesan mereka.

Ketika operasi menyelamat masih diteruskan, kejadian rompakan turut dilaporkan berlaku di La Guaira yang sebahagian besarnya kini menjadi timbunan runtuhan akibat gempa bumi yang dianggap paling dahsyat pernah berlaku di Amerika Selatan.

Penduduk memaklumkan bahawa farmasi, pasar raya dan premis perniagaan lain telah dirompak.

Sebahagian mereka turut mengeluhkan kelewatan serta jumlah bantuan pascagempa yang disifatkan tidak mencukupi daripada pihak berkuasa. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.