BUDI Diesel guna MyKad lebih mudah

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 28 Jun – Pelaksanaan awal mekanisme subsidi diesel menerusi program BUDI Diesel menerima reaksi positif daripada pengguna serta pengusaha stesen minyak kerana proses pembeliannya lebih mudah dengan hanya menggunakan MyKad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem BUDI Diesel berjalan lancar dan menggunakan mekanisme sama seperti subsidi RON95 BUDI MADANI.
  • Harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter sekarang, turun kepada RM2.10 seliter mulai 1 Julai 2026.
  • MyKad digunakan sebagai pengesahan kelayakan; pelanggan boleh menyemak baki kuota terus di pam minyak.

Tinjauan RTM di beberapa stesen minyak sekitar Kuala Kedah mendapati urusan pembelian diesel bersubsidi berjalan lancar, meskipun jumlah pengguna diesel persendirian masih belum begitu ramai.

Juruwang sebuah stesen minyak di Kuala Kedah, Nur Yasmin Ismail berkata, sistem BUDI Diesel berfungsi dengan baik dan menggunakan mekanisme yang sama seperti subsidi RON95 menerusi BUDI MADANI.

“Setakat ini, pelaksanaan BUDI Diesel berjalan lancar. Orang ramai sudah mula membeli diesel pada harga RM2.15 seliter untuk tempoh ini dan mulai 1 Julai nanti harganya RM2.10 seliter.

“Prosesnya sama seperti subsidi RON95, sistem kami juga telah dikemas kini dan pelanggan boleh menyemak baki kuota mereka terus di pam minyak,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini antara 15 hingga 20 pelanggan menggunakan kemudahan tersebut setiap hari.

Sementara itu, seorang peniaga, Rosli Abdullah menyifatkan penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan memudahkan rakyat mendapatkan diesel bersubsidi.

“Mudah sekarang. Untuk beli diesel hanya perlu guna kad pengenalan dan mulai 1 Julai boleh dapat pada harga RM2.10 seliter,” katanya.

Pada 23 Jun lalu, kerajaan mengumumkan mekanisme baharu subsidi diesel menerusi program BUDI Diesel akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.