Festival Rentak Negeri platform perkasa pelancongan budaya Negeri Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) ketika merasmikan Program Pelancongan Budaya Festival Rentak Negeri 2026 / Foto ihsan FB Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

PORT DICKSON, 28 Jun – Rakyat Negeri Sembilan diseru memainkan peranan sebagai duta pelancongan dalam usaha memperkenalkan keunikan budaya, warisan dan produk pelancongan negeri itu ke peringkat lebih luas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan pelancongan dinilai melalui impak ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
  • Pemeliharaan warisan budaya perlu diberi perhatian sebagai pemangkin pertumbuhan pelancongan dan ekonomi negeri.
  • Kerajaan memperuntuk RM148,000 bagi Mini Pavilion Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 untuk mempromosi pemain industri.
  • Festival Rentak Negeri 2026 tiga hari tonjolkan budaya, seni persembahan dan produk pelancongan; disasarkan jadi acara tahunan tarik pelancong.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kejayaan sektor pelancongan bukan hanya dinilai berdasarkan jumlah program yang dianjurkan, tetapi turut diukur melalui impak ekonomi, peluang pekerjaan yang diwujudkan serta kesejahteraan yang dinikmati rakyat.

Beliau berkata, pemeliharaan warisan budaya perlu terus diberi perhatian kerana ia menjadi antara pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

“Setiap rakyat perlu memainkan peranan sebagai duta pelancongan dengan memperkenalkan keistimewaan Negeri Sembilan kepada dunia.

“Kejayaan pelancongan bukan sekadar bergantung kepada berapa banyak program yang dianjurkan, tetapi sejauh mana ia mampu mewujudkan peluang pekerjaan, menjana ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pelancongan Budaya Festival Rentak Negeri 2026 di Pantai Batu Satu, di sini.

Menurut Datuk Seri Aminuddin, kerajaan negeri melalui Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan turut memperuntukkan RM148,000 bagi penyediaan Mini Pavilion Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 yang menghimpunkan penyertaan pemain industri pelancongan negeri.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memperkukuh promosi pelancongan Negeri Sembilan dengan memberi ruang kepada penggiat industri memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pelawat.

Festival Rentak Negeri 2026 yang berlangsung selama tiga hari merupakan antara program utama sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, dengan mengetengahkan keunikan budaya, warisan, seni persembahan serta produk pelancongan negeri.

Beliau turut berharap Festival Rentak Negeri akan terus berkembang sebagai acara tahunan yang mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan budaya negara.

Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 memberi fokus kepada pengenalan pelbagai tarikan negeri termasuk warisan Adat Perpatih, ekopelancongan, gastronomi, seni budaya serta destinasi rekreasi bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.