
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan kempen Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) sebagai gerakan nasional bagi memperkukuh penggunaan produk tempatan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik dan meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
- Strategi serampang dua mata KPDN: pastikan harga stabil dan tingkatkan pendapatan rakyat bagi memperkukuh kuasa beli.
- Gerakan menyatukan kerajaan, pemain industri, pengeluar, peruncit dan rakyat dalam ekosistem sokong produk tempatan dan pertumbuhan ekonomi.
- Inisiatif digital dan peruncitan seperti KITA KLIK dan Kita Untuk Kita luaskan pasaran produk tempatan domestik dan antarabangsa.
- Kolaborasi dengan Kuala Lumpur Fashion Week dan Local to Global Retail Programme kukuhkan fesyen, tekstil, batik serta peluang eksport.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan ketika nilai jualan sektor perdagangan borong dan runcit negara mencecah RM1.87 trilion, sekali gus mencerminkan prestasi ekonomi domestik yang terus kukuh.
Beliau berkata, KPDN kini mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani cabaran kos sara hidup menerusi strategi serampang dua mata, iaitu memastikan harga barang dan perkhidmatan kekal stabil di samping meningkatkan pendapatan rakyat agar mempunyai kuasa beli yang lebih kukuh.
“JOM MALAYSIA bukan sekadar kempen membeli produk tempatan, tetapi merupakan satu gerakan nasional yang menghimpunkan kerajaan, pemain industri, usahawan, pengeluar, peruncit dan rakyat dalam satu ekosistem yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Matlamat utama program ini adalah untuk memperkukuh ekonomi negara melalui sokongan terhadap produk tempatan. Apabila rakyat memilih produk buatan Malaysia, manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh peniaga dan pengeluar tempatan, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang akhirnya kembali memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) sempena Festival Jom Malaysia X Pesta Kita di Pasar Seni, di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Armizan berkata, gerakan itu turut memperkasa perusahaan tempatan menerusi peningkatan peluang perniagaan, peluasan pasaran serta pengukuhan daya saing produk Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.
Katanya, bagi memperluaskan impak kempen berkenaan, KPDN akan melaksanakan beberapa inisiatif strategik termasuk KITA KLIK! menerusi kerjasama dengan platform e-dagang bagi memperluas pasaran digital produk tempatan.
Selain itu, program Kita Untuk Kita akan dilaksanakan dengan kerjasama pasar raya dan peruncit tempatan bagi meningkatkan akses pengguna dan pelancong terhadap produk buatan Malaysia.
“KPDN turut menjalin kerjasama strategik dengan Kuala Lumpur Fashion Week bagi memperkukuh industri fesyen, tekstil dan batik sebagai identiti nasional yang berpotensi menembusi pasaran global.
“Pada masa sama, Local to Global Retail Programme akan membuka lebih banyak peluang kepada produk Malaysia untuk memasuki pasaran antarabangsa dan meningkatkan eksport,” katanya.
Festival Jom Malaysia X Pesta Kita yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Jun menghimpunkan 123 usahawan dan pempamer dari seluruh negara yang menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan buatan Malaysia, termasuk makanan dan minuman, fesyen, kraftangan, produk gaya hidup, kosmetik, teknologi dan industri kreatif.