
IPOH, 28 Jun – Sebanyak 13 projek pembangunan dan naik taraf kemudahan pelancongan akan dilaksanakan di Perak menerusi peruntukan lebih RM44 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh daya saing sektor pelancongan negeri.
- Pelaksanaan enam projek pembangunan berskala besar dan tujuh projek penyelenggaraan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan negeri.
- Projek merangkumi pemuliharaan Menara Condong Teluk Intan, naik taraf Kraftangan Perak, Kinta Riverwalk, Lumut Mangrove Discovery Centre, Sungai Bernam dan Lata Puteh.
- Projek dijangka memperkukuh produk pelancongan, meningkatkan pengalaman pelawat dan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, peruntukan itu membabitkan enam projek pembangunan berskala besar bernilai lebih RM42 juta serta tujuh projek penyelenggaraan dan peningkatan kemudahan pelancongan berjumlah RM1.39 juta.
“Sebanyak enam projek pembangunan berskala besar akan dilaksanakan, meliputi pemuliharaan Menara Condong Teluk Intan, menaik taraf bangunan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak, menaik taraf kawasan pelancongan Kinta Riverwalk di Ipoh.
Selain, menaik taraf dan mengubah suai bangunan informasi sedia ada kepada Lumut Mangrove Discovery Centre di Manjung, pembangunan persisiran Sungai Bernam di Tanjong Malim serta pembangunan kawasan ekopelancongan Lata Puteh di Selama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Budaya Malaysia @ Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Kesemua projek ini dijangka memperkukuh produk pelancongan Perak, meningkatkan pengalaman pelawat dan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui pertambahan kehadiran pelancong.
Chiew berkata, pelaksanaan projek berkenaan sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh pembangunan infrastruktur pelancongan, memelihara aset warisan dan membangunkan produk pelancongan baharu yang mampu meningkatkan daya saing negeri sebagai antara destinasi utama pelancongan negara.
Festival Budaya Malaysia @ Perak merupakan antara inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempromosikan kepelbagaian budaya, seni dan warisan negara, di samping merancakkan pelancongan domestik serta menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.