
BATU PAHAT, 27 Jun – Kementerian Komunikasi menyelaras langkah proaktif bagi mengekang penyebaran berita palsu dan fitnah di platform digital ketika Pilihan Raya Negeri (PRN Johor).
- MCMC membentuk pasukan petugas khas bersama SPR dan PDRM untuk menangani berita palsu di media sosial.
- Kerjasama strategik dengan agensi dan organisasi media dipergiat untuk mempercepat penjelasan serta penafian maklumat tidak sahih.
- Penggunaan infografik dan hebahan maklumat diguna bagi memperkukuh penyampaian fakta kepada masyarakat.
- Usaha bersepadu diperkukuh untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan demi memastikan ekosistem maklumat berintegriti.
Jelas Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform media sosial turut mempertingkat pemantauan bagi menyekat penularan maklumat palsu termasuk isu sensitif menyentuh raja, agama dan kaum (3R).
“MCMC telah mewujudkan satu pasukan petugas khas (task force) bagi menangani berita palsu yang disebar melalui media sosial dengan kerjasama termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan PDRM,” jelas beliau.
Selain itu, kerjasama strategik dengan pelbagai agensi serta organisasi media juga dilakukan bagi mempercepat proses penjelasan dan penafian maklumat tidak sahih.
“Antara instrumen yang akan digunakan ialah penggunaan infografik dan hebahan maklumat bagi memperkukuh penyampaian fakta kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, Majlis Media Malaysia akan bekerjasama dengan media berdaftar bagi memastikan setiap berita palsu dapat dijelaskan segera kepada orang awam, khususnya yang melibatkan sumber media rasmi.
Beliau menambah, usaha bersepadu itu diharap dapat memperkukuh pemantauan serta tindakan penguatkuasaan bagi memastikan ekosistem maklumat negara kekal berintegriti, selamat dan bebas daripada unsur penyelewengan maklumat.
Beliau menyatakannya kepada media selepas menyantuni penduduk setempat menerusi Program Hasrat MADANI di Senggarang, di sini pada Jumaat.
SPR menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lepas.