Kes dadah di Pulau Pinang turun 4.13 peratus – AADK

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Roswati Apin ketika ditemui di Angkasapuri / Foto RTM

GEORGE TOWN, 26 Jun – Jumlah penagih dan penyalah guna dadah serta bahan terlarang di Pulau Pinang menurun 4.13 peratus kepada 13,855 orang pada 2025 berbanding 14,452 orang yang direkodkan tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • AADK mempergiat usaha pencegahan, khususnya di Seberang Perai Utara yang merekodkan peningkatan kes tertinggi.
  • Gabungan penguatkuasaan AADK, PDRM dan sokongan komuniti akan memperkukuh kawalan melalui strategi lebih berkesan.
  • AADK memberi amaran trend penyalahgunaan vape berisi cendawan halusinogen dalam kalangan remaja; ibu bapa dinasihat memantau tingkah laku dan peranti.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Roswati Apin berkata, walaupun trend penurunan itu menunjukkan perkembangan positif, usaha pencegahan terus dipergiat, khususnya di daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang merekodkan peningkatan kes tertinggi di negeri itu.

“Secara keseluruhannya saya boleh katakan keadaan masih terkawal. Walaupun masih ada kes, ia berada dalam kawalan. Saya percaya gabungan usaha penguatkuasaan oleh AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sokongan komuniti akan terus memperkukuh kawalan menerusi strategi yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Bicara Prisma di Konti Mutiara FM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, AADK turut memberi perhatian terhadap trend baharu penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan remaja, termasuk penggunaan peranti rokok elektronik atau vape yang mengandungi cendawan halusinogen (magic mushroom).

Roswati turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta sentiasa memantau penggunaan peranti elektronik bagi mengelakkan mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan bahan psikoaktif yang kini dipasarkan dalam pelbagai bentuk.

Sebagai langkah intervensi awal, beliau berkata AADK menyediakan perkhidmatan kaunseling, khidmat nasihat serta program rawatan dan pemulihan secara sukarela di peringkat komuniti dan institusi bagi membantu individu yang ingin mendapatkan rawatan lebih awal.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis di Melaka kerana disyaki membekalkan vape yang mengandungi cendawan halusinogen kepada teman wanitanya berusia 14 tahun.

Dalam kejadian itu, remaja perempuan terbabit dipercayai bertindak di luar kawalan sehingga mengelar leher serta kedua-dua lengannya

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.